KERATAN laporan awal di portal berita Harian Metro
Faliq Lajim
am@hmetro.com.my


MOHAMMAD Ariffuddin Mohd Nor Hafis, 9, yang menghidap barah tisu meninggal dunia di rumah datuknya di Jalan Seri Kenangan, Meru, Klang, malam tadi.

Bapanya, Mohd Nor Hafis Abd Aziz, 33, berkata anak sulungnya itu kembali ke rahmatullah pada 11.40 malam tadi.

“Selepas Maghrib, Arif (Mohammad Ariffuddin) menunjukkan perubahan.

“Saya memanggil ahli keluarga lain untuk berkumpul dan membaca surah Yasin.

“Waktu itu dia minta saya duduk disebelahnya dan memeluknya,” katanya.


AHLI keluarga membacakan surah Yasin di rumah datuk arwah di Jalan Seri Kenangan, Meru, malam tadi. FOTO Faliq Lajim

Menurutnya, selepas itu keadaannya semakin teruk dan sudah tidak mampu untuk bercakap.

“Saya minta Arif berehat memandangkan keadaannya yang sangat lemah.

“Namun ketika bapa saya cuba mengejut Arif dari tidur dia tidak memberi sebarang reaksi. Kami tahu, Arif sudah pergi dan saya reda,” katanya sebak.

Menurutnya, anaknya itu akan dimandi dan disolatkan di rumah bapanya sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jalan Cempaka Meru pada kira-kira 10 pagi ini.

Dalam masa sama, dia turut menghargai sokongan serta doa orang ramai termasuk penderma yang banyak membantu anaknya itu.

“Terima kasih kepada semua pihak yang prihatin menghulurkan sumbangan. Hanya Allah SWT saja dapat membalas jasa semua,” katanya.

Harian Metro hari ini melaporkan Mohammad Ariffuddin berharap kembali sihat seterusnya dapat kembali ke sekolah untuk berjumpa rakan serta gurunya.

Kisahnya mendapat perhatian ramai selepas laporan muka depan akhbar ini pada 12 Julai lalu memaparkan penderitaan kanak-kanak ceria itu yang berisiko buta seumur hidup berikutan sel barah merebak dengan cepat sehingga ke otak dan menjejaskan organ dalaman lain.

Penyakit yang dihidapi sejak Januari lalu itu menyebabkan mata kirinya terjojol keluar manakala mata kanan hampir buta.

Berita berkaitan

'Saya mahu kembali sihat'

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Disember 2017 @ 8:28 AM