REKET menceritakan pengalamannya. - Daily Mail
Daily Mail

Paris: Seorang pelayar Poland diselamatkan pengawal pantai Perancis selepas hanyut selama tujuh bulan bersama kucingnya akibat botnya rosak di Lautan Hindi.

Zbigniew Reket, 54, berkata, dia dan haiwan peliharaannya itu hanya makan separuh peket sup Cina setiap hari, selain menangkap ikan untuk terus hidup di lautan sebelum akhirnya diselamatkan berhampiran Pulau Reunion pada hari Krismas.

Biarpun ditemui dalam keadaan kurus kering, dia dikatakan tidak menghadapi sebarang masalah kesihatan.

Menurutnya, dia berlepas dari Pulau Komoro dengan perancangan asal berlayar ke Afrika Selatan.

“Bagaimanapun, peralatan bot rosak akibat dihempas ombak besar menyebabkan saya terputus hubungan luar.

“Kami hanyut menuju ke pantai Somalia kemudian ke Maldives dan Indonesia lagi.

“Saya nampak kawasan darat beberapa kali tetapi tidak boleh mengemudi ke sana. Saya juga nampak beberapa kapal namun radio kehabisan bateri,” katanya.

Penyiasat kini mengumpul maklumat daripada lelaki itu yang dilihat agak sukar untuk disahkan.

Perjalanan lebih 2,000 kilometer (km) itu mungkin membabitkan pelayaran merentasi terusan Mozambique iaitu laluan sibuk kapal yang mempunyai arus kuat.

Kapal yang digunakan Reket pada asalnya kapal pesiar yang diubah suai.

Reket berkata, pelayaran kali pertamanya ke India pada 2014 dari rumahnya di Amerika Syarikat (AS) selepas membeli bot dengan hasrat untuk berlayar pulang ke Poland.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 Disember 2017 @ 4:35 AM