Muhamaad Razis Ismail
razis@hmetro.com.my


“Saya sedang mengetuai bacaan Yasin bersama 186 pelajar di tingkat satu masjid yang terletak 10 meter dari lokasi kejadian. Tiba-tiba seorang daripada pelajar menjerit selepas ternampak api di pondok sebelum mereka bergegas turun ke lokasi kejadian.

“Saya sempat melaungkan azan sebaik melihat api semakin marak. Beberapa pelajar dilihat sempat menyelamatkan kitab dan mengeluarkan tong gas," kata kakitangan Madrasah Muhammadiah, Pondok Beta Hilir, Kota Bharu, Muhammad Hanif Mohd Razali, 28.

Sebanyak 14 unit pondok madrasah itu musnah dalam kebakaran malam ini.

Kejadian 7.45 malam itu membabitkan pondok yang menempatkan 24 pelajar lelaki termasuk seorang warga emas, bagaimanapun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Menurutnya, itu adalah kejadian pertama sejak madrasah itu beroperasi pada 1980.

Saksi utama kejadian Ahmad Faizzuddin Zulkifli, 18, berkata ketika sedang membaca Yasin,dia terkejut selepas terlihat api di sebuah pondok.

" Saya menjerit api, api...sebelum turun bersama rakan lain.

"Kami cuba padamkan api dengan menjirus air namun api merebak cepat dan kami tidak mampu berbuat apa-apa," katanya.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan Penguasa Kanan Bomba II Hussin Ab Rahman berkata, sebaik menerima panggilan pada 7.50 malam, empat jentera membabitkan 29 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat ( BBP) Tunjong, Kota Darul Naim dan Ketereh ke lokasi kejadian.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian 60 peratus pondok terbabit sudah hangus terbakar.

" Operasi pemadaman terus dijalankan dan api berjaya dikawal pada 8.27 malam.

" Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Berita berkaitan:

14 pondok Madrasah Muhammadiah, Pondok Beta Hilir musnah terbakar

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Disember 2017 @ 11:39 PM
kebakaran membabitkan 14 unit pondok di Madrasah Muhammadiah, Pondok Beta Hilir, Kota Bharu. FOTO Nik Abdullah Nik Omar