HARRIS masih gementar ketika menyanyi di pentas.
Ramlah Zainal
ramlah@hmetro.com.my


Bersandarkan paras rupa kacak persis bekas anggota One Direction, Zayn Malik, pasti ramai menganggap Harris Baba, 26, mudah mencipta nama dalam dunia hiburan. Hakikatnya, penyanyi dan pelakon berdarah kacukan Pakistan-Iran-Cina dari Singapura ini perlu bekerja keras untuk bertapak sebagai artis.

Menurut Harris, dia memulakan kerjaya nyanyian di Singapura lebih setahun lalu tetapi sayangnya kurang menjadi. Oleh itu, dia nekad mencuba nasib di Malaysia dan syukur selepas setahun peminat menerima kehadirannya dengan baik.

Bagi pemilik nama sebenar Khawaja Mohammad Harris ini, dia juga bersyukur kerana dapat bernaung di bawah pengurusan Faithful Music, milik penyanyi dan komposer terkenal, Faizal Tahir.

“Bukan mudah untuk menempa nama di Malaysia kerana persaingan sengit dengan penyanyi tempatan. Selain bernaung di bawah pengurusan yang bagus, seseorang penyanyi juga perlu tampil dengan produk atau lagu berkualiti,” katanya.

Selepas kejayaan single pertamanya berjudul Katakan, Harris juga berharap single keduanya berjudul Parah turut diterima peminat muzik tempatan. Ia edaran Warner Music (M) Sdn Bhd.

Lagu Parah adalah ciptaan Faizal Tahir, Ezra Kong, Romeo dan Mike Chan yang mengisahkan putus cinta. Parah juga menggabungkan dua elemen irama iaitu Hindi dan Melayu. Lagu Parah juga berbeza daripada single pertama, Katakan kerana ia lebih mencabar sekali gus menguji kemampuan vokalnya.

“Saya melakukan persediaan lengkap untuk proses rakaman lagu itu yang mengambil masa dua bulan di studio. Setakat ini maklum balas diterima daripada peminat tempatan positif namun ada juga yang mengkritik vokal saya.

“Terus terang, saya masih gementar ketika menyanyi di pentas dan menganggap diri masih dalam proses pembelajaran. Saya percaya prestasi vokal lebih baik untuk single kedua. Faizal juga banyak membantu ketika proses rakaman di studio.

“Pada masa sama, saya juga belajar sendiri memperbaiki vokal setiap kali melakukan persembahan,” katanya.

Bercerita perancangan selepas ini, kata Harris, dia ingin berkolaborasi dengan mentornya, Faizal menerusi lagu duet.

“Antara penyanyi popular tempatan yang menjadi sumber inspirasi muzik saya ialah Akim, Aizat Amdan, Hazama dan Datuk Seri Siti Nurhaliza kerana saya juga membesar dengan lagunya sejak kecil,” katanya.

Kembang bakat dalam lakonan

Selain menyanyi, Harris juga meminati dunia lakonan dan dia mahu berjaya dalam kedua-dua bidang seni itu.

“Saya bersyukur kerana dapat peluang mengembangkan bakat dalam bidang nyanyian dan lakonan di negara ini. Sejak berada di Malaysia juga, nama saya turut dikenali ramai di Singapura berbanding sebelum ini,” katanya.

Dia juga tidak menang tangan memenuhi undangan berlakon sehingga tahun depan.

“Saya baru selesai penggambaran drama Seharum Kasih untuk siaran di RTM dan projek filem seram Millionaire bergandingan dengan Raja Ilya,” katanya.

Beralih sisi peribadinya pula, Harris mengakui keluarga tetap menjadi keutamaannya sejak dulu.

Hasil perkongsian hidup dengan Nik Naziha Zawawi, 22, mereka dikurniakan anak perempuan, Aleena Ziya, 10 bulan.

“Saya sudah menetap di Kuala Lumpur untuk memudahkan kelancaran kerjaya seni sementara isteri dan anak pula tinggal bersama ibu bapanya di Keningau, Sabah.

“Setiap kali ada kelapangan, saya akan balik menjenguk mereka di sana,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Disember 2017 @ 4:39 AM