Mahligai Mimi dan Mohd Firdaus hanya bertahan dua tahun. FOTO ZUNNUR AL SHAFIQ
Najiy Jefri
najiy.jefri@hmetro.com.my


TIDAK mahu terus berteka-teki status rumah tangga yang dibina anggota kumpulan One Nation Emcees, Mimi Fly akhirnya mendedahkan sudah bercerai dengan suaminya, Mohd Firdaus Hajar, awal November lalu.

Mimi dihubungi Harian Metro berkata, dia reda apabila rumah tangganya hanya mampu bertahan selama dua tahun.

"Salah satu sebab kami berkahwin adalah atas sebab permintaan arwah bapa yang teringin sangat melihat anak perempuan sulungnya bernikah. Dan selepas 13 hari perkahwinan dilangsungkan, dia meninggal.

"Saya sudah tunaikan pemintaan arwah ayah, namun selepas itu banyak petanda menunjukkan tiada keserasian antara kami. Saya dan Firdaus cuba bertahan demi arwah ayah tetapi akhirnya takdir menentukan yang kami tidak lagi bersama," katanya.

Menurut Mimi, sejak tidak tinggal sebumbung awal Oktober lalu, dia dan bekas suami gagal mencari jalan penyelesaian sehingga dia terpaksa memfailkan perceraian.

"Terlalu banyak hal yang berlaku sehingga kami buntu untuk menyelamatkan perkahwinan ini. Tambahan pula, komunikasi antara kami juga semakin hambar.

"Jujur selama dua tahun hidup bersama macam-macam kesilapan yang kami berdua lakukan sampai tahap menjejaskan masa depan dan ketenangan jiwa kami serta keluarga," katanya.

Meskipun sunyi dengan kehidupan solo, Mimi berkata, kerjaya nyanyiannya masih diteruskan dan bakal memperkenalkan single solo pertama, Superfly ciptaannya bersama Shazee, Omar K dan Audi Mok bulan depan.

Spekulasi keretakan rumah tangga Mimi atau nama sebenarnya, Shamimi Amalina Norhisham, 30 dan Mohd Firdaus tercetus apabila penyanyi itu tidak lagi memuat naik gambar berdua, selain memadam semua foto bersama yang pernah dikongsi di laman sosial.

Andaian itu diperkuatkan lagi apabila Firdaus yang sebelum ini menguruskan Mimi dilihat tidak lagi menemaninya setiap kali menjayakan persembahan.

Mimi dan Firdaus mendirikan rumah tangga pada 16 Mei 2015.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Disember 2017 @ 6:27 PM