MANGSA diberi rawatan selepas motosikal ditunggang dirempuh kereta.
Nur Saliawati Salberi
nursaliawati@mediaprima.com.my


ANGGOTA polis trafik dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah, koyak kulit belakang kepala dan patah tulang belikat ketika bertugas apabila motosikal ditunggangnya dirempuh Perodua Myvi, di Jalan Syed Abdul Aziz, Melaka, pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik negeri, Superintendan Mohd Sham Abdullah berkata, ketika kejadian jam 3 pagi itu, anggota trafik berkenaan Sarjan Samsaimi Yusop, 54, yang menunggang motosikal Yamaha Nouvo sedang menjalankan tugas dalam Ops Mabuk.

"Setibanya di lokasi kejadian Perodua Myvi dipandu lelaki berusia 28 tahun itu, yang datang dari arah Kota Laksamana menuju pusat bandar dikatakan merempuh bahagian belakang motosikal mangsa.

"Difahamkan, sebelum kejadian saksi mengatakan pemandu Perodua Myvi berkenaan dilihat memandu dalam keadaan melulu dan merbahaya," katanya.

Beliau berkata, lelaki berkenaan dipercayai memandu di bawah pengaruh alkohol dan dia kini direman bagi membantu siasatan.

"Kita sudah mengambil sampel darah lelaki terbabit ujian kandungan alkohol dan masih menunggu laporan.

"Selain dia kini direman tiga hari sehingga 27 Disember ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Disember 2017 @ 5:17 PM