KEBANYAKAN warga asing terbabit menjalankan perniagaan menggunakan lesen perniagaan ‘ali baba’ milik warga tempatan. FOTO NSTP
Mohd Azam Shah Yaacob
mohdazam@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Bukan setakat menguasai perniagaan menjual pakaian, kasut, jam tangan, minyak wangi dan beg tiruan, sebaliknya warga Bangladesh, Pakistan serta India turut dikesan menjalankan aktiviti penjualan alat telekomunikasi di samping barangan komputer tiruan.

Barangan yang dijual bukan saja membabitkan set komputer lengkap termasuk komputer riba, malah perkakasan membaik pulih komputer dan aksesori telefon pintar menggunakan jenama terkenal.

Tinjauan Metro Ahad di beberapa kompleks beli-belah seperti di Bangunan Yayasan Selangor di sini, mendapati lebih 30 premis menjual barangan dan menawarkan perkhidmatan membaik pulih komputer dijalankan oleh warga asing.

Situasi sama juga berlaku di Plaza GM, Plaza Tar serta Plaza Low Yat di mana mereka menguasai kebanyakan premis jualan.

Berdasarkan maklumat, kebanyakan warga asing terbabit menjalankan perniagaan menggunakan lesen perniagaan ‘ali baba’ milik warga tempatan, namun mereka mendakwa ‘hanya bekerja untuk majikan’.

Wartawan yang menyamar sebagai pembeli cuba meminta diskaun bagi membeli peralatan komputer, dan mereka dengan mudah memberikan potongan harga sehingga 15 peratus berbanding harga asal.

Berbeza dengan pekerja warga tempatan serta segelintir pekerja warga asing, mereka memaklumkan tidak boleh memberikan pengurangan harga kerana hanya boleh diberikan oleh majikan.


ANTARA premis aksesori telefon pintar yang di jalankan warga asing. FOTO NSTP

Malah, ada peniaga warga asing terbabit sebenarnya memiliki perniagaan berkenaan selepas membayar kos mengambilalih kedai berkenaan daripada warga tempatan yang sudah ‘letih berniaga’ pada harga minimum RM30,000 mengikut saiz kedai selain bayaran bulanan sekitar RM3,000 hingga RM8,000.

Kakitangan swasta yang mahu dikenali sebagai Wan, 30, berkata, dia pernah menjadi mangsa penipuan warga asing berkenaan ketika membeli komputer riba bernilai RM1,600 di sebuah pusat beli-belah, di sini.

Katanya, ketika membeli komputer riba itu, dia dimaklumkan barangan itu tulen kerana dilengkapi kad waranti serta nombor siri.

“Bagaimanapun, saya gagal mendaftarkan nombor siri komputer riba yang dibeli apabila pulang ke rumah. Beberapa kali saya cuba daftar, tapi tak berjaya kerana notifikasi yang tertera memaklumkan nombor siri berkenaan tidak wujud,” katanya.

Menurutnya, dia cuba memulangkan semula komputer riba itu kepada peniaga warga asing terbabit, namun mereka menyatakan ada kesilapan pada nombor siri dan pendaftaran hanya boleh dibuat oleh penjual.

“Mereka juga menyatakan waranti itu juga laku bagi tempoh setahun dengan jaminan kerosakan oleh pihak kedai,” katanya.

Sementara itu, seorang pekerja tempatan mengakui ada warga asing berkenaan sudah berniaga sejak lebih lima tahun.

Katanya, pada mulanya mereka bekerja sebagai penjual, namun akhirnya mereka mengambil alih perniagaan daripada warga tempatan dengan perjanjian serta bayaran tertentu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Disember 2017 @ 3:16 AM