Dari kiri, bot yang dipercayai karam bersama tujuh pemancing yang masih belum ditemui dan lima pemancing yang menaiki lima bot kecil yang diselamatkan bot pembekal dekat Labuan, Sabah, semalam. - Foto Ihsan APMM
Norasikin Daineh
norasikin_daineh@hmetro.com.my


LIMA pemancing terselamat manakala tujuh lagi hilang selepas bot mereka naiki karam di perairan Pulau Labuan, awal pagi semalam.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Wilayah Sabah dan Labuan Datuk Mohd Zubil Mat Som berkata, kejadian berlaku kira-kira 3 pagi.

Pusat Operasi Daerah Maritim 14 (DM14) Labuan menerima panggilan mengenai bot pemancing disyaki karam di kedudukan 97 batu nautika dari barat laut Pulau Labuan akibat cuaca buruk.

“Menurut laporan, kira-kira jam 11 pagi, lima bot kecil merapat dengan kapal pembekal milik sebuah syarikat untuk mendapatkan perlindungan daripada cuaca buruk.

“Lima mangsa dikenali sebagai Musimal, 19, Ridzmal, 21, Sibar, 26, Azmir dan Algapal masing-masing berusia 31 tahun memaklumkan bot yang membawa tujuh lagi rakan karam,” katanya dalam kenyataan media di Kota Kinabalu, lewat semalam.

Mohd Zubil berkata, menerusi panggilan telefon dengan isteri salah seorang mangsa yang terselamat, wanita itu memaklumkan semua mangsa yang mempunyai hubungan keluarga yang rapat.

“Semua mangsa berasal dari Pulau Gaya dan dilaporkan belayar dari pulau itu sejak Jumaat lalu," katanya.

Menurutnya, sejurus menerima laporan itu, Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) segera diaktifkan.

“Sektor pencarian merangkumi 25 batu nautika di perairan terbabit dan aset APMM dari Labuan iaitu Kapal Maritim Bistari (KM BISTARI) digerakkan ke lokasi terakhir dilaporkan kapal pembekal terbabit.

“Usaha pencarian mangsa pada waktu ini sedang giat diusahakan oleh kapal pembekal terbabit bersama sebuah bot pancing manakala aset lain, khususnya Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan diminta untuk turut sama membantu pencarian ini," katanya.

Mohd Zubil berkata, bot yang dilaporkan hanyut berwarna merah putih dengan anggaran panjang 28 meter dan lebar empat meter.

Terdahulu, Mohd Zubil menasihatkan komuniti maritim termasuk persatuan nelayan, persatuan memancing serta individu menangguhkan perancangan ke laut ketika Taufan Tembin melanda sekarang.

“Taufan itu memberi kesan di perairan barat Sabah serta Labuan dengan ombak boleh mencapai setinggi 4.5 meter dengan angin melebihi 60 kilometer sejam.

“Sesiapa yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini diminta memaklumkan bilik operasi APMM Labuan di talian 087-427999 atau 999," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Disember 2017 @ 1:02 AM