REMY sedia kongsi pengalaman berlakon dengan orang baru.
Syanty Octavia Amry
soctavia@hmetro.com.my


Hampir 10 tahun dalam bidang seni, pelakon Remy Ishak, 35, akui baru pertama kali diberi kepercayaan memegang watak hero dalam slot Akasia yang bakal disiarkan di TV3 tidak lama lagi.

Menerusi drama bersiri 28 episod berjudul Kekasih Paksa Rela itu, Remy mengakui banyak perkara baru yang dipelajarinya dalam lakonan.

Apatah lagi, produksi drama berkenaan juga rata-ratanya menampilkan orang baru.

Remy berkata, dia tidak ada masalah menyesuaikan diri kerana baginya perlu untuk menerima setiap perubahan yang berlaku.

“Apabila terbabit dalam drama bersiri ini, saya memang terkejut. Tidak hanya berdepan ramai orang baru tetapi jalan ceritanya terlalu fokus dengan watak utama.

“Apabila terlalu fokus dengan kisah hero dan heroin, saya berasa penat kerana terbabit dalam hampir semua episod.

Pada masa sama, saya juga sudah lama tidak berlakon projek drama bersiri,” katanya.

Tidak menyesal dengan apa yang dilakukan, bagi Remy, ia adalah pengalaman baru buatnya.

Malah, bergandingan dengan dua heroin baru juga memberi pengalaman berbeza buat Remy.

“Saya bersikap terbuka menerima cara mereka bekerja. Apa yang penting, mereka dapat merealisasikan watak dengan baik ketika di lokasi.

“Cara bekerja pelakon sekarang juga berbeza kerana mereka baru hendak baca skrip ketika di lokasi. Selain itu, mereka juga sibuk dengan telefon bimbit dan berswafoto terlebih dulu.

“Itu terpulang dan hak mereka asalkan tidak memberi masalah kepada pelakon lain dan saya,” katanya.

Jika sebelum ini, ada sesetengah beranggapan Remy kurang gemar bergandingan dengan pelakon baru, namun dia menafikannya .

“Tiada istilah baru atau lama asalkan masing-masing memberi kerjasama. Tidak saya nafikan, bekerja dengan orang lama lebih mudah kerana mereka sudah tahu tanggungjawab masing-masing.

“Tetapi tidak salah untuk saya beri peluang kepada pelakon baru. Jika mereka minat untuk belajar, saya sudi berkongsi pengalaman berlakon dengan mereka. Saya juga melihat ramai pelakon baru yang mahu belajar ilmu lakonan,” katanya.

Fokus filem dan teater

Sebaik saja selesai penggambaran drama bersiri Kekasih Paksa Rela pada Januari nanti, Remy bakal ke lokasi penggambaran projek filem baru pula.

Akui Remy, rezekinya kini lebih terarah kepada filem. Menurutnya, faktor usia juga antara penyebab dirinya lebih selesa fokus pada filem.

“Selepas selesai penggambaran drama ini, saya akan ke Batam, Indonesia untuk berlakon filem. Menyusul selepas itu, saya perlu bersiap sedia ke Bangkok untuk penggambaran filem.

“Tidak saya nafikan, sekarang ini saya lebih terarah kepada filem dan teater. Bukan tidak ada tawaran berlakon drama tetapi saya lebih suka fokus kepada sesuatu perkara yang lebih teliti.

“Bukan bermaksud drama tidak teliti tetapi cara pengurusan produksi projek teater dan filem mengambil masa yang lebih lama,” katanya.

Namun, kata Remy, jika ikutkan hati, dia lebih selesa berlakon filem dan drama.

“Sudah lama saya tidak berlakon drama. Saya anggap drama Kekasih Paksa Rela ini sebagai mengubat rindu pada drama.

“Sebab itu, saya memang terkejut kerana banyak perkara baru yang saya lihat dan pelajari. Namun, saya sentiasa terbuka menerima setiap perubahan,” katanya.

Dalam pada itu, ditanya sisi peribadinya pula, Remy tetap mengambil pendekatan berdiam diri.

“Insya-Allah, jika sampai masanya saya akan berkongsi berita baik itu kepada semua,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Disember 2017 @ 5:39 AM