Anggota bomba melakukan pemeriksaan ke atas rumah banglo dua tingkat yang terbakar dan mengorbankan lima nyawa di Sungai Long, Kajang. FOTO Khairul Azry Bidin
Kalidevi Mogan Kumarappa dan Nabihah Kamal dan Nurul Hidayah Bahaudin
am@hmetro.com.my


MAJLIS Perbandaran Kajang (MPKJ) mengesahkan rumah banglo dua tingkat dijadikan sebagai pusat jagaan orang tua di Sungai Long, Kajang, yang terbakar, hari ini, tidak memiliki permit.

Kaunselor MPKJ Lai Wa Cheong berkata, semakan rekod pihaknya mendapati pemilik pusat jagaan terbabit tidak pernah memohon permit untuk beroperasi.

“Sebuah pusat jagaan orang tua swasta memerlukan permit untuk beroperasi. Bagaimanapun, pihak kami tidak menerima sebarang permohonan daripada pemilik pusat jagaan terbabit.

“Setakat ini, kami masih menunggu rekod daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sama ada pemilik pusat jagaan itu ada merujuk perkara berkenaan kepada JKM,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff berkata, berdasarkan maklumat awal, pemilik pusat jagaan itu dipercayai warga Pakistan.

“Kami sedang menyiasat sama ada premis ini mempunyai kebenaran untuk beroperasi daripada JKM dan pihak berkuasa tempatan.

“Pada masa yang sama, jabatan siasatan forensik polis dan bomba sedang menyiasat punca kejadian yang bermula dari tingkat bawah rumah banglo dua tingkat berkenaan.

“Berdasarkan maklumat awal, kami mendapati pusat jagaan itu sudah beroperasi sejak dua bulan lalu dan disewa dengan harga RM6,000 sebulan,” katanya.

Berita berkaitan

Lima maut di Kajang

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Disember 2017 @ 11:23 AM