Pembantah Palestin berlindung daripada tembakan tentera dan polis Israel dekat Gaza City, hari ini. - Foto EPA
AFP

PRESIDEN Turki, Recep Tayyip Erdogan, yang meneruskan kecamannya terhadap Presiden Donald Trump, kini mendapat sokongan Russia yang bersetuju Amerika menyimbah minyak kepada api dalam krisis di Asia Barat.

Menurut Erdogan, vandalisme dan kekejaman di Baitulmaqdis sekarang tidak akan berpanjangan.

"Mereka yang menyangka memiliki Baitulmaqdis sekarang, tidak akan menemui pokok untuk bersembunyi," katanya.

Erdogan sebagai Pengerusi Pertubuhan Islam Antarabangsa (OIC) berkata, perjuangan dunia Islam tidak akan berhenti sehingga Palestin merdeka.

"Mereka tidak akan dapat mencuci darah yang akan terus tumpah.

"Amerika kini menjadi rakan subahat pertumpahan darah. Kami tidak menerima pengiktirafan itu (Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel). Kami tidak akan (terima)," katanya di Ankara.

Presiden Russia, Vladimir Putin, berkata tindakan Trump mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel mencetuskan keganasan serta meningkatkan ketegangan krisis yang sudah tegang.

"Ia menjejaskan usaha damai Israel-Palestin serta menjejaskan kestabilan Asia Barat," katanya di Ankara.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Disember 2017 @ 4:32 PM