Norman meninggal dunia di rumahnya di Jalan Lembah, Kampung Sungai Buaya di Dungun, 7.45 malam tadi.
Rosli Ilham
am@hmetro.com.my


VOKALIS kumpulan Panji yang menghidap penyakit misteri meninggal dunia di rumahnya di Jalan Lembah, Kampung Sungai Buaya di Dungun, 7.45 malam hari ini.

Mohd Nor Husin, 55, atau lebih dikenali sebagai Norman yang popular dengan lagu Sayap Terluka dan Semilir meninggal dunia di sisi adiknya, Mohd Shafie, 54, dan anak sulungnya, Haris Haikal, 16.

Mohd Shafie berkata, dia bersama anak arwah berada di sisi selepas diminta mengurut dadanya yang sakit.

"Saya dan anaknya mengurutkan dadanya dan tiba-tiba dia muntah darah pekat sebelum tidak sedarkan diri.

"Saya beberapa kali mengajar arwah mengucap dua kalimah syahadah, saya lihat mulutnya bergerak beberapa kali dan saya menepuk-nepuk badannya tetapi tidak bergerak,"katanya.

Menurutnya, dia kemudiannya menghubungi Hospital Dungun dan sebaik pegawai perubatan tiba disahkan Norman sudah meninggal.

"Arwah yang sudah berpisah meninggalkan empat anak berusia antara 11 hingga 16 tahun.

"Jenazahnya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Syed Yahaya kira-kira 10 pagi esok," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Disember 2017 @ 11:19 PM