FARA Hani menunjukkan pergerakan melukis dengan kostum kain batik dengan calitan cat sambil memainkan alat muzik tradisional. FOTO Edmund Samunting
Amniera Naziera Amran
hmkk@hmetro.com.my


Kota Kinabalu: Menari sambil melukis dengan mengikut rentak lagu. Malah, dia tidak menggunakan berus, sebaliknya hanya menggunakan anggota badan termasuk tapak tangan dan tapak kaki yang dicelup dengan cat untuk menghasilkan karya seni di atas kanvas.

Itulah keunikan dimiliki Fara Hani Mahadi, 23, pelukis muda yang mula menempa nama dalam bidang seni eksperimental di negeri ini.

Anak jati Kampung Buang Sayang, Papar yang baru sahaja menamatkan pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Teknologi Seni Visual di Universiti Malaysia Sabah (UMS) itu berkata, dia menggabungkan seni tari dipelajari di universiti dengan gaya tari berdasarkan kreativitinya sendiri.

Katanya, ia bagi menghasilkan karya seni yang unik dan bersifat peribadi.

“Saya umpamakan setiap anggota badan saya seperti berus. Ia digunakan bagi mencorakkan setiap karya seni,” katanya ketika ditemui Harian Metro di sini, semalam.


FARA Hani. FOTO Edmund Samunting

Wanita berketurunan Brunei ini boleh berbangga apabila dia mula diberi kepercayaan membuat persembahan di majlis keraian di negeri ini dan paling membanggakan, dia antara segelintir wanita yang berani berkecimpung dalam seni berkenaan.

Fara Hani yang juga anak keempat daripada lima beradik berkata, seni berkenaan adalah baru di negeri ini.

Sehubungan itu katanya, segelintir masyarakat masih tidak boleh menerima cabang seni berkenaan.

“Dengan berkain batik, saya cuba mengetengahkan elemen keberanian dan warisan tradisi nusantara bagi menyampaikan maksud ritual atas tanah suci di negeri ini,” katanya.

Farah Hani berkata, melukis dengan pergerakan tarian eksperimental ada kalanya memerlukan seseorang melompat dan berpusing-pusing.

Pada masa sama, dia perlu mengekalkan keaslian budaya tempatan dengan menggunakan tiga warna asas dalam ritual alam Melayu iaitu merah (darah), kuning (dewata) dan hijau (alam).

Pelukis muda itu mengakui dia masih berlatih melukis dan menari sebagai senaman dan mengisi masa lapang setiap hari bagi meningkatkan keyakinan dalam persembahan.

Malah ada ketikanya, Fara Hani menggunakan alat muzik tradisional seperti gambus dan kompang dalam persembahannya.

“Saya masih membuat penambahbaikan pergerakan dan ia bukanlah pergerakan yang tidak tentu arah kerana banyak teknik yang perlu dikuasai.

“Semua itu dilakukan dengan seluruh jiwa dan semangat saya,” katanya.

Farah Hani berkata, dia pernah terjatuh di lantai dalam satu persembahan, tetapi tidak menganggap pengalaman itu menjadi penghalang untuk terus berkarya.


GAMBUS, kompang dan ukelele antara alat muzik yang selalu digunakannya. FOTO Edmund Samunting

Dalam pada itu, wanita ini turut mengakui bahawa dia pernah disisihkan ahli keluarga yang tidak memahami minatnya dalam seni berkenaan.

Namun, dia tidak menjadikan penghinaan dan perspektif negatif sesetengah pihak terhadap dirinya sebagai penghalang untuk berjaya.

“Saya masih ingat, ada rakan dan ahli keluarga yang mengejek dan mengasingkan saya kerana penampilan saya yang mula berubah dan dianggap tidak releven pada masa kini.

“Saya sedar ibu, Therry Azie, 53, dan bapa , Mahadi Abd Malik, 58, tidak menyokong sepenuhnya tindakan saya untuk berkecimpung dalam aktiviti seni.

“Tambahan pula, saya hanya bergantung pendapatan daripada lukisan mural untuk membeli peralatan dalam kerjaya melukis sambil menari ini,” katanya.

Bagaimanapun katanya, dia menjadikan kesukaran hidup sebagai motivasi untuk berdikari tanpa mengharapkan orang lain.

Sekali gus, dia mahu membuktikan bahawa dia juga mampu berjaya dengan memilih bidang seni berkenaan.

“Sekarang jika diingat kembali, saya tidak kisah dengan ejeken orang. Cukuplah saya tidak menganggu kehidupan orang lain,” katanya sambil menambah ada dia melukis pada anggota badan sambil bermain alat muzik.


FARA Hani menunjukkan pergerakan melukis dengan kostum kain batik dengan calitan cat sambil memainkan alat muzik tradisional. FOTO Edmund Samunting

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Disember 2017 @ 7:59 AM