IZARA Aishah. FOTO Nur Adibah Ahmad Izam
Ramlah Zainal
ramlah@hmetro.com.my


Bidang lakonan bagaikan sudah sebati dengan dirinya sejak dulu.

Sehubungan itu, Izara Aishah, 25, tetap meneruskan karier lakonan seperti biasa selepas bernikah dengan Muhammad Adib Khalid, 27, pada 17 November lalu.

“Saya sangat bertuah kerana suami sangat menyokong minat dalam bidang seni sejak kali pertama kami bertemu dulu. Justeru, tiada apa yang berubah membabitkan bidang lakonan yang bukan saja minat, tetapi karier seni diceburi sejak dulu.

“Status sebagai isteri tidak menghalang untuk saya terus bekerja kerana tidak mahu bergantung hidup dengan sumber kewangan suami semata-mata,” katanya.

Izara berkata, dia memilih bidang lakonan sejak belum berkahwin.

“Saya sentiasa ingat pesanan ibu supaya sentiasa memilih dari segi jalan cerita, pengarah dan batasan watak yang tidak keterlaluan dengan gandingan hero dalam filem sejak mula terbabit dalam lakonan.

“Saya juga akan teruskan prinsip sama selepas berumah tangga,” katanya.

Menurut Izara, fokus dan keutamaannya tetap kepada keluarga selepas berkahwin.

“Keluarga tetap nombor satu sejak dulu. Selepas berkahwin, tanggungjawab dan keutamaan saya semakin bertambah kerana sudah ada dua keluarga besar,” katanya.

Ditanya soal cahaya mata pula, Izara menyerahkan perkara itu kepada ketentuan Ilahi.

“Kami tidak mahu merancang soal anak. Jika dapat anak awal, ia rezeki buat kami sekeluarga,” katanya.

Impi watak kisah benar

Walaupun baru diijabkabulkan sebagai isteri, Izara tetap memberi komitmen untuk majlis pelancaran filem televisyen (FTV) lakonannya, Baby Bro yang berlangsung di The Garden Mall, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Dalam Baby Bro, Izara hanya melakonkan watak pembantu dalam filem arahan Ghaz Abu Bakar yang diterajui Shaheizy Sam dan Farid Kamil.

“Saya bawa watak pembantu, tetapi tetap hadir untuk memberi sokongan pada Baby Bro kerana ia tanggungjawab saya sebagai pelakon,” katanya.

Izara berkata, dia terima tawaran berlakon dalam Baby Bro kerana tertarik dengan naskhahnya.

“Saya sudah lama tidak bekerja dengan Ghaz dan pada masa sama ingin bekerja dengan Sam yang juga antara pelakon hebat tanah air.

“Saya juga inginkan kelainan dalam lakonan dan cerita ini juga ringan dan menghiburkan penonton,” katanya.

Sebaik saja kembali daripada berbulan madu di luar negara, Izara bakal terbabit dengan penggambaran drama bersiri 100 episod berjudul Jodoh Jodoh Annisa terbitan Global Station pada Januari depan.

“Saya juga akan terikat dengan penggambaran drama bersiri ini dari Januari hingga Ogos. Saya juga terima tawaran ini kerana tidak pernah terbabit dalam drama bersiri episod yang panjang. Saya akan memegang watak utama, tetapi barisan pelakon lain belum dapat disahkan,” katanya.

Ditanya watak impian pula, kata Izara, dia ingin berlakon dalam cerita yang bersandarkan kisah benar, sekali gus mencabar lakonannya pada masa depan.

Dalam pada itu, dia juga ingin bekerja dengan pengarah hebat seperti U-Wei Saari.

“Saya pernah dapat tawaran untuk berlakon projek filem di Singapura dan Indonesia sebelum ini, tapi belum bersedia kerana ingin mengukuhkan nama di negara sendiri dulu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Disember 2017 @ 6:42 AM