RAMLI menunjukkan senapang patah yang digunakan suspek menembak pasukan keselamatan. FOTO Ainul Durmahyanty Durming
Ainul Durmahyanty Durming
am@hmetro.com.my


LELAKI yang ditembak mati oleh pasukan keselamatan di perairan laut Silam, Lahad Datu, awal pagi tadi, dipercayai ahli kumpulan Abu Sayyaf (ASG) berpangkat komander.

Suspek, Abu Paliyak, 31, atau lebih dikenali Komander Paliyak @ Yusuf ditemui mati di atas bot dipandunya dengan beberapa kesan tembakan di tubuhnya.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Ramli Din berkata, siasatan lanjut mendapati suspek terbabit dalam beberapa kes rompakan dan penculikan di kawasan perairan Kunak dan Lahad Datu sekitar 2014.

"Pemeriksaan pada badan suspek didapati terdapat hampir sembilan parut lama dipercayai kesan tembakan dan terkena bahan letupan di bahagian paha kanan, perut dan lengan kanan.

"Pemeriksaan juga didapati jari tengah sebelah kiri putus kesan daripada kecederaan lama," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu, hari ini.

Hadir sama, Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) Datuk Hazani Ghazali dan Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah Asisten Komisioner Yazib Abdul Aziz.

Ramli berkata, pihaknya percaya suspek juga adalah tali barut kepada kes culik untuk tebusan (KFR) yang diketuai oleh kumpulan Remy yang aktif melakukan jenayah rentas sempadan di Selatan Filipina dan pantai Timur Sabah.

Kumpulan Remy atau dikenali sebagai Kumpulan Two Brothers dianggotai oleh 11 orang, lima daripadanya ditangkap pasukan keselamatan Filipina, empat ditembak mati, dan satu lagi dipercayai berada di Selatan Filipina.

"Polis percaya suspek keluar ke laut bagi membuat pemerhatian pergerakan pasukan keselamatan dan menyalurkan maklumat itu kepada kumpulan KFR untuk melakukan jenayah rentas sempadan di perairan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE).

"Polis akan menjalankan siasatan terperinci bagi mengesan saki baki tali barut dan ahli kumpulan mereka yang masih bebas," katanya.

Mengulas mengenai kejadian itu, Rami berkata, ketika kejadian, pasukan keselamatan terdiri daripada pasukan khas ESSCOM dan Pasukan Polis Polis Marin (PPM) Lahad Datu yang sedang menjalankan rondaan di kawasan perairan Pulau Kantong Kalungan, di sini, mengesan sebuah bot dipandu seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan

"Ketika dihampiri, tiba-tiba bot memecut laju dan melepaskan satu das tembakan. Berikutan itu, pasukan keselamatan melepaskan tembakan balas ke arah bot suspek.

"Selepas beberapa minit, polis berjaya menghampiri bot suspek dan didapati seorang lelaki terbaring dalam bot berkenaan dengan kesan tembakan," katanya.

Menurutnya, pemeriksaan seterusnya menemui selaras senapang patah yang diubah suai bersama satu butir kelongsong peluru dan satu butir peluru 12 bore.

Ramli berkata, dengan kejayaan suspek ditembak mati ini, polis percaya dapat menyelesaikan beberapa kes rompakan di laut dan penculikan yang berlaku di kawasan ESSZONE pada 2014 dan 2015.

Kejadian ini adalah kes pertama membabitkan ahli kumpulan ASG di Sabah yang ditembak mati.

“Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar segera menyalurkan maklumat kepada pasukan keselamatan sekiranya terdapat kecurigaan,” katanya.

Sementara itu Ramli berkata, kejadian ini adalah kes kedua membabitkan ahli kumpulan ASG di Sabah yang ditembak mati.

Kes pertama pada 29 September lalu di perairan Kunak yang mana suspek dikenali sebagai Masurati Insawani @Tarap, 51, ditembak ketika cuba melarikan diri dari pihak berkuasa di perairan Pulau Burung, Semporna.

Suspek terbabit dalam kes rompakan nelayan di perairan Sabah.

Pada Disember 2016 lalu, polis dari Pasukan Gerakan Am (PGA) menembak mati tiga lelaki bersenjata dalam satu cubaan menculik di perairan Semporna.

Satu daripada yang terbunuh dikenali sebagai Abraham@Ibrahim Hamid, bekas kumpulan ASG.

Dalam kejadian itu juga, polis turut menahan dua penculik.

Berita berkaitan:

Suspek kes culik ditembak mati

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Disember 2017 @ 4:48 PM