NURUL Shuhada Mat Shukri menunjukkan tandas yang digunakan oleh wanita untuk melahirkan bayinya kepada Pegawai JKM Baling, Shamsul Izrin Isahak. FOTO Safuri Kamarudin
Safuri Kamarudin
am@hmetro.com.my


BAYI lelaki baru lahir ditemui dalam tandas stesen pam minyak di Baling yang cuba dibuang ibunya.

Bagaimanapun, bayi itu diselamatkan selepas pekerja stesen pam minyak itu memujuk wanita itu supaya menyerahkan bayi kepadanya.

Kejadian itu bermula selepas pelanggan stesen mengadu satu daripada tandas digunakan terlalu lama, pada 2.15 petang semalam.

Sehubungan itu, pekerja stesen pam minyak itu, Nurul Shuhada Shukri, 25, pergi ke tandas yang dimaksudkan dan terdengar suara tangisan bayi.

Menurutnya, dia mengetuk bilik air itu berulang kali kerana bimbangkan pengguna tandas itu.

“Selepas itu, terdengar suara wanita mengatakan sedang membuang air besar.

“Tapi, saya rasa pelik kerana wanita itu tidak keluar keluar pun selepas hampir setengah jam saya di depan tandas,” katanya.

Nurul Shuhada berkata, tidak lama selepas itu wanita berkenaan keluar dengan membawa bersamanya ‘benda berbungkus kain batik’.

“Saya ikut wanita itu dan bertanya kepadanya. Dia marahkan saya. Selepas itu, barulah wanita itu memberitahu dia melahirkan bayi dalam tandas.

“Malah, dia memberitahu yang dia hendak membuang bayi itu. Tapi, saya terus pujuk dia. Lama kelamaan dia pun setuju serah bayi itu kepada saya,” katanya ketika ditemui di stesen minyak itu, malam tadi.

Katanya, wanita itu sempat berpesan supaya menjaga anaknya dengan baik dan akan datang semula untuk melihat anaknya.

“Wanita itu terus beredar dengan Proton Waja menghala ke arah Kupang. Saya bawa bayi itu ke balai polis dan menyerahkannya sebelum dibawa ke Hospital Baling,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Disember 2017 @ 12:32 AM