LAPORAN semalam. FAIL Harian Metro
Farah Suhaidah Othman
am@hmetro.com.my


POLIS menahan suami isteri susulan penemuan mayat wanita dipercayai dibunuh dalam ladang kelapa sawit di Mambang Diawan, Kampar, semalam.

Mangsa, S Letchumi, 28, ditemui terbaring atas tanah dalam ladang sawit dengan kesan jerutan di leher dan kecederaan di bahagian kepala, paa kira-kira 2 petang.

Ketua Polis Kampar, Superintendan Ng Kong Soon, berkata kedua-dua suspek, masing-masing berusai 46 tahun ditahan di dua lokasi berasingan, malam tadi.

Katanya, siasatan awal mendapati mangsa adalah teman wanita suspek lelaki itu.

“Suspek wanita ditahan di depan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kampar manakala suspek lelaki ditahan di rumahnya, di Bandar Baru Kampar.

“Kedua-dua suspek direman enam hari bermula hari ini hingga Khamis untuk siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Kong Soon berkata, mayat mangsa yang sebelum ini dibawa ke Unit Forensik Hospital Kampar dipindahkan ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

“Hasil bedah siasat, pada kira-kira 8 pagi Sabtu, mendapati mangsa mati akibat dipukul bertubi-tubi di bahagian kepala.

“Pakar patologi turut mengesahkan berlaku pergelutan antara suspek dan mangsa sebelum kejadian.

“Namun, tiada koyakan pada alat kelamin mangsa manakala sampel darah diambil untuk dianalisa Jabatan Kimia,” katanya.

Harian Metro semalam melaporkan, mayat wanita berkenaan dipercayai dibunuh kurang 24 jam di lokasi lain sebelum ditinggalkan di ladang kelapa sawit berkenaan.

Berita berkaitan

Kesan jerut pada leher

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Disember 2017 @ 5:50 PM