POLIS mengusung mayat mangsa untuk dihantar ke Hospital Kampar. FOTO Muhammad Apendy Issahak
Muhammad Apendy Issahak
apendy@hmetro.com.my


MAYAT wanita dipercayai dibunuh ditemui dalam ladang kelapa sawit di Mambang Diawan, Kampar, hari ini.

Mayat mangsa, S Letchumi, 28, ditemui terbaring atas tanah di dalam ladang kelapa sawit berkenaan kira-kira 2 petang.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Ng Kong Soon berkata, mayat wanita terbabit ditemui oleh lelaki berusia 60-an yang mencari cendawan di kawasan berkenaan.

“Lelaki terbabit kemudian terus memaklumkan kepada pihak polis.

“Siasatan awal polis mendapati kesan jerut pada leher mangsa dan kes dipercayai bukan bermotifkan samun kerana barang kemas mangsa tidak hilang,” katanya ketika ditemui dilokasi kejadian, hari ini.

Menurutnya, turut ditemui kunci motosikal dan topi keledar mangsa di lokasi kejadian.

“Siasatan lanjut menemui motosikal dipercayai milik mangsa di restoran di Bandar Baru Kampar.

“Mangsa dipercayai dibunuh dalam tempoh tidak lebih 24 jam dan mayatnya dihantar ke Hospital Kampar untuk dibedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian,” katanya.

Katanya, polis tidak menolak kemungkinan mangsa dilarikan dari kawasan lain sebelum dibawa ke ladang terbabit dan dibunuh dipercayai dengan dijerut serta dipukul dengan objek tumpul.

Kong Soon berkata, kes kini disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana bunuh.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Disember 2017 @ 7:38 PM