SALMA Asis. FOTO Mahzir Mat Isa
Syafil Syazwan Jefri
syafil.syazwan@hmetro.com.my


Populariti sesuatu lagu selalunya diukur melalui kekerapan ia dimainkan di radio. Populariti artis juga penting dalam menaikkan sesuatu lagu.

Bagi penyanyi Salma Asis, lagunya yang berjudul Akhirnya Cinta ada kekuatan tersendiri dan tentunya kerana itulah, lagu ciptaan Ajai itu layak dipertandingkan di pentas Anugerah Juara Lagu ke-32 (AJL32), Februari tahun depan.

Namun, ia kurang meraih populariti dan tidak banyak stesen radio yang memainkannya.

Perkara itu diakui sendiri oleh Salma yang juga juara program realiti Mentor 5 dan 3 Juara.

“Saya hanyalah penyanyi yang menyanyikan lagu itu. Memang Akhirnya Cinta tak banyak dimainkan di stesen radio berbanding lagu penyanyi baru.

“Ia terpulang kepada penerbit stesen radio sama ada ingin memainkan lagu saya atau tidak. Yang pasti, pihak pengurusan saya, Wake The Baby sudah menjalankan tugas dengan baik mempromosikan Akhirnya Cinta,” katanya.

Diminta meluahkan pendapat apabila ada pihak mempertikaikan lagu dendangannya itu layak ke AJL, ini jawapan Salma:

“Saya ada terbaca mengenai pertikaian itu di forum dan laman sosial. Jadi, berbalik kepada persoalan awal tadi, juri berasakan lagu ini layak atas beberapa sebab, tapi kerana kurang sokongan mereka rasa ia tak cukup popular dan tak layak bertanding.”

Ditanya mengenai perasaannya apabila diumumkan layak bertanding di AJL, Salma nyata teruja dan menganggap penantiannya selama ini terbayar.

“Selepas tujuh tahun menantikan peluang ini, akhirnya lagu nyanyian saya layak ke AJL. Pada 2011, single pertama saya, Aku Permata hanya layak ke peringkat separuh akhir.

“Saya anggap ini sebagai rezeki. Bagaimanapun, saya tak mahu terlalu yakin dan meletakkan harapan tinggi kerana takut kecewa seperti yang berlaku pada single pertama,” katanya.

Ditanya mengenai persiapan, Salma secara ringkas memaklumkan akan ada sedikit suntingan dalam susunan muzik Akhirnya Cinta.

“Ada beberapa bahagian yang saya akan ubah suai. Konsepnya, saya simpan sebagai kejutan. Apa yang pasti, ia akan tampak serasi dengan tema AJL32 yang menaikkan elemen fesyen,” katanya yang bakal muncul dengan single kedua tidak lama lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 30 November 2017 @ 5:31 AM