Tertuduh dipenjara 24 tahun dan 48 sebatan selepas didapati bersalah merogol anak perempuannya di Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini. FOTO ihsan pembaca
Muhamaad Razis Ismail
razis@hmetro.com.my


BURUH dipenjara 24 tahun dan dikenakan 48 sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kota Bharu, hari ini, terhadap tuduhan merogol anak perempuannya tiga malam berturut-turut, tahun lalu.

Hakim Nazri Ismail menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh berusia 60 tahun selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, tertuduh didakwa merogol anak kandungnya yang ketika itu berumur 15 tahun di sebuah rumah di Kampung Pengkalan Datu Sering antara 1 hingga 1.30 pagi pada 22 hingga 24 November 2016.

Semua kesalahan didakwa mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan minimum 10 sebatan, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, peguam Zuhaidie Akmal Hasan Basri merayu supaya anak guamnya dikenakan hukuman penjara minimum serta pengecualian hukuman sebat dengan mengambil kira usia mencecah 60 tahun serta tahap kesihatannya tidak begitu baik.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Siti Hajar Alias yang memohon supaya tertuduh dikenakan hukuman berat atas perlakuan jijik yang sanggup merogol anaknya sendiri.

"Sebagai bapa, tertuduh patut melindungi mangsa namun mengambil kesempatan ke atas mangsa" katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 29 November 2017 @ 4:14 PM