FOTO HIASAN
Mohamad Fahd Rahmat
Fahd@hmetro.com.my


TIGA penjenayah warga asing bersenjatakan parang dan pemutar skru melarikan RM30,000 selepas memecah masuk satu rumah di Jalan Parit Jalil, Batu Pahat.

Timbalan Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Superintendan Mender Singh, berkata suspek bertindak mengikat mangsanya menggunakan wayar telefon.

Selain itu, katanya, suspek juga mengikat mangsa dengan dawai dan turut melarikan empat telefon bimbit selain cincin emas.

“Mangsa yang juga pengadu berusia 34 tahun terjaga apabila terdengar bunyi hentakan yang kuat dari pintu biliknya, pada 3.30 pagi.

“Tiba-tiba terdapat tiga lelaki yang menutup muka dengan kain masuk mengikat tangan pengadu mengunakan wayar telefon dan menyuruhnya diam.

“Kemudian suspek membawa mangsa ke bilik ibu bapanya berusia 60 dan 55 tahun lalu. Mereka bersama dengan dawai.

“Seorang daripada tiga suspek itu memegang parang. Ketiga-tiga suspek terus menggeledah bilik dan bahagian ruang tamu rumah.

“Suspek menggeledah kira-kira 15 minit. Mereka melarikan diri mengikut pintu belakang rumah,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, suspek dipercayai memasuki rumah dengan memotong besi pagar dan mengumpil pintu belakang rumah dengan menggunakan pemutar skru.

“Seorang suspek menjerit meminta pengadu diam dan pengadu percaya suspek adalah warga Indonesia.

“Duit RM30,000 yang dibawa lari adalah milik ayah pengadu hasil jualan kedai runcit dan simpanan ayah pengadu.

“Tiada sesiapa yang tahu ayah pengadu simpan wang berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, ketiga-tiga suspek yang bersarung tangan dan memakai baju lengan panjang ketika kejadian memiliki ketinggian antara 160 hingga 165 sentimeter.

Menurutnya, suspek kini diburu polis dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

“Rumah mangsa dikelilingi kelapa sawit. Terdapat rumah jiran dalam jarak kira-kira 15 meter.

“Tapi, jiran mengatakan tidak nampak apa-apa ketika kejadian dan mereka tiada CCTV.

“Rumah berkenaan adalah milik bapa pengadu dan ini adalah kali pertama kejadian seumpamanya sepanjang 30 tahun mendiami di kawasan itu.

“Sebelah rumah mereka adalah kedai runcit bapa pengadu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 November 2017 @ 11:00 AM