HASAN bergambar dengan gadis Bosnia yang ditemuinya di Jambatan Konjic, Bosnia.
Osman Lisut
manlee@bh.com.my


JALAN sempit dan terpaksa berhenti beberapa kali kerana berselisih dengan bas dan lori.

Itu antara cabaran getir buat Datuk Hasan Nawawi Abd Rahman ketika melalui Terowong Ivan di Sarajevo, yang kini dalam Misi Kayuhan Solo 8 Negara Balkan.

Menurut Hasan, beliau tiada pilihan kerana terowong 645 meter itu adalah satu-satunya jalan untuk ke Mostar dan laluan hanya muat untuk satu kenderaan.

“Hanya kenderaan bergerak laju sahaja dibenarkan melalui terowong itu dan jika ingin berbasikal...kita kena pantas atau berhenti di bahu jalan sambil menunggu laluan kosong.

“Ditambah pula di dalam terowong lampunya agak malap atau gelap, keadaan menjadi cemas apabila lori dengan lori atau bas berselisih. Sukar hendak melihat apa yang datang.


TEROWONG Ivan iaitu satu daripada tujuh terowong ditempuhi Hasan.

“Jika mahu meneruskan kayuhan kenalah dengan kelajuan 40 kilometer sejam.

“Kalau tidak, alamatnya kena hon dek pemilik kenderaan lain,” kata Wira Daratan itu mencerita pengalaman berkayuh ke Mostar, bandar di sempadan Bosnia-Croatia.

Katanya, ketika di Sarajevo, dia sempat berehat dua hari bagi membuat persiapan untuk berkayuh ke Croatia dengan suhu di bawah tahap beku iaitu -2 Celcius.

Selain itu, katanya, dia juga perlu menempuh sekurang-kurangnya tujuh terowong.

“Saya sempat melawat Bihac, sebelah barat Bosnia untuk bermain salji.


HASAN sempat melawat Bihac sempadan barat Bosnia - Croatia yang dilitupi salji.

“Ketika asyik melihat keindahan pemandangan, saya dihampiri dua gadis Malaysia berasal dari Ampang.

“Mereka terkejut apabila bertemu saya dan bertanyakan adakah saya individu yang disiarkan oleh RTM,” katanya.


HASAN sempat selfie dengan pelakon Nasha Aziz ketika berkayuh di sekitar Sarajevo, Bosnia.

Hasan berkata, ketika berkayuh ke Mostar, dia terfikir untuk menubuhkan Kelab Kembara Basikal bagi melahirkan modal insan berjiwa besar.

“Saya juga ingin membukukan pengalaman sepanjang berkayuh di Balkan sebagai motivasi kepada generasi muda dan mencabar mereka.

“Macam-macam ilham terbayang di fikiran ketika berkayuh bersendirian.

“Malah beberapa rakan di Kajang juga bersetuju untuk membantu membuat program XPDC termasuk menjelajah Malaysia,” katanya.

Perjalanan dari Sarajevo ke Mostar sejauh 140 kilometer, namun cuaca sejuk dan bersalji membataskan percubaan bekas Pegawai Daerah Port Dickson yang pernah diisytihar sebagai rakyat Malaysia pertama berbasikal mengelilingi dunia.

Namun, kepenatannya berbaloi apabila melihat keindahan pemandangan kawasan kampung terutamanya menghampiri bandar Konjic.


PEMANDAGAN indah di Konjic inilah yang menjadi pengubat penat Hasan.

“Untuk sampai ke sini, saya melalui banyak laluan berbukit dan beberapa kali turun untuk menolak basikal. Sesekali terhibur juga apabila melihat salji berguguran di tepi jalan.

“Ketika berkayuh di atas Jambatan Konjic, binaan peninggalan Khalifah Uthamniyyah, saya bertemu dua gadis Bosnia bernama Elma.

“Mereka terkejut melihat saya bersendirian mengayuh basikal dalam suasana salji.

“Kami sempat bergambar berlatar belakangkan jambatan yang berusia hampir 300 tahun itu.

“Memandangkan waktu baru 2 petang dan cuaca terang saya cuba bersiar-siar.

“Namun suasana bertukar menjadi gelap seperti senja sedangkan baru baru 3.30 petang. Saya pun berpatah ke hotel untuk berehat,” katanya.

Katanya, semasa berkayuh di Croatia, beliau akan menyusuri laluan pantai bagi mengelak cuaca sejuk melampau.

“Pengalaman lalu, ketika berkayuh di pantai, angin laut lebih panas, sedikit sebanyak menghangatkan tubuh badan.

“Di Croatia nanti saya akan berkayuh sejauh 604 kilometer dan bakal mengunjungi bandar Metkovic, Ploce, Makarska, Split, Sibenik, Zadar serta Rijeka, mungkin memakan masa lima hari.

“Biasalah, setiap kali sampai ke sesebuah negara, pastinya pengurup wang akan saya tuju. Kedai biasa tidak mahu menerima mata wang luar,” katanya.

Katanya, selepas urusan imigresen selesai, dia akan berkayuh sejauh 20 kilometer untuk sampai ke bandar terdekat, Metkovic kira-kira jam 4 petang.

“Apa yang menarik perhatian saya ialah deretan pokok delima yang merah memasak. Saiz buahnya juga agak besar dan lebat berbanding delima yang kita tanam.

“Betapa besar kuasa Allah SWT. Dia mengkehendaki apa saja termasuk tumbuhnya pokok delima di negara mempunyai cuaca dingin.

“Macam hendak petik sahaja delima yang sedang masak ranum itu,” katanya.

Hari kedua di Metkovic, cuaca agak panas 10 Celcius, menyaksikan Hasan menanggalkan sehelai daripada tiga baju yang dipakainya dan tidak juga menyarungkan seluar tebalnya.

“Seperti berkayuh di Turki. Saya tidak perlu lagi memakai baju sejuk yang tebal untuk berkayuh di Split.

“Faktor ini mungkin mempercepatkan kayuhan saya di Croatia nanti,” katanya bersemangat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 November 2017 @ 11:53 PM