DAtuk Mazlan menunjukkan dadah yang dirampas daripada sindiket.
Mohd Azam Shah Yaacob
mohdazam@hmetro.com.my

SINDIKET dadah kini menggunakan taktik memproses dadah ketamin, ekstasi dan syabu menjadi serbuk 'perasa tambahan' dalam minuman ringan khusus untuk pelanggan yang berhibur di pusat hiburan di sekitar ibu kota.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mazlan Lazim berkata, taktik sindiket itu dikesan susulan kejayaan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur menahan lima individu membabitkan tiga kes berasingan sekitar ibu kota Isnin lalu.

Menurutnya, suspek mengaku membekalkan paket serbuk 'minuman lalok' itu kepada beberapa pusat hiburan.

“Antara minuman yang dicampur dengan serbuk dadah itu adalah minuman bercoklat, kopi tiga dalam satu, jus lemon dan serbuk air tenaga membabitkan produk dijual dalam pasaran tempatan.

"Serbuk dadah ini bukan saja diambil oleh pelanggan yang tahu mengenainya, sebaliknya diberikan kepada pelanggan yang memesan minuman ringan tapi tidak tahu menahu mengenainya."Tujuannya bagi membolehkan pelanggan merasai keseronokan berganda ketika berhibur dan datang semula untuk menikmatinya," katanya pada sidang media diadakan di Pusat Media IPK Kuala Lumpur sebentar tadi.

Mazlan berkata, serbuk 'minuman istimewa' itu dijual dalam paket kecil dan besar pada harga antara RM250 hingga RM4,000.

Katanya, bancuhan setiap pek kecil mampu menghasilkan satu jug air minuman yang boleh dikongsi sehingga lima orang.

Dalam tiga tangkapan membabitkan lima individu itu, polis berjaya merampas serbuk minuman campuran dadah yang keseluruhannya bernilai RM105,320.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 November 2017 @ 2:33 PM