ALYSHA Amani. FOTO NSTP
Sarah Zulkifli dan Nor Azura Abd Jalil
am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Obses terhadap alat solek bukan hanya kepada wanita atau remaja perempuan, tapi kini mula menular dalam kalangan kanak-kanak yang mampu menyolek wajah mereka dengan cantik setanding orang dewasa.

Malah, ada seawal usia dua tahun mula meminati alat mekap menyebabkan ibu bapa berkemampuan membelanjakan sejumlah wang untuk membeli barangan itu.

Kos untuk membeli alat solek pula boleh mencecah ratusan ringgit bergantung kepada jenama, kualiti serta bahan digunakan.

Namun, rata-rata ibu bapa memilih alat solek yang tidak memberikan kesan sampingan kepada kulit anak mereka, selain memastikan untuk membuat rutin membersihkan semula kulit setiap kali bermekap.

Seorang ibu, Roslina Saad, 33, eksekutif logistik, berkata, anak sulungnya, Alysha Amani Mohd Azrul yang kini berusia tujuh tahun mula menyukai alat solek sejak berusia dua tahun.

“Sejak usia dua tahun, Alysha sudah mula menunjukkan kecenderungannya terhadap alat solek apabila dia suka bermain gincu.

“Saya pada mulanya tidak ambil kisah dan hanya tertawa melihat anak bergincu,” katanya.

Menurutnya, lama-kelamaan dia semakin pelik apabila melihat Alysha amat berminat dengan gincu berbanding alat mainan lain yang dibeli sehingga anaknya itu boleh menghabiskan masa beberapa jam dengan bermain alat solek.

“Sejak itu, saya tahu anak memang serius bersolek dan dia sanggup belajar melalui media sosial selain melihat saya sendiri bersolek.

“Kini, Alysha sudah mempunyai set peralatan soleknya sendiri dan ada kalanya saya sendiri menumpang alat soleknya itu,” katanya.

Menurutnya, sebagai ibu dia tidak mahu menghalang minat anaknya itu kerana ia dilihat dapat mendisiplinkan dan membuatkan Alysha belajar menjaga diri dan kecantikan wajahnya.

Bagi Roziana Zainal Abidin, 38, alat solek membina keyakinan diri untuk anaknya, Carissa Irina Taufiq, 5, apabila anak kedua-duanya itu mendapat pujian orang ramai yang melihat kecomelan wajahnya.

“Anak saya mula meminati alat solek setahun lalu selepas terpengaruh melihat tutorial mekap kanak-kanak di laman YouTube.

“Selain itu, disebabkan kerjaya saya sebagai perunding kecantikan Mary Kay yang melatih perunding baru, termasuk mengendalikan kelas mekap,” katanya.


CARISSA dapat galakan daripada ibu yang bekerja sebagai perunding kecantikan. FOTO NSTP

Ketika ditanya mengenai kesan buruk alat solek pada kulit kanak-kanak, Roziana berkata, dia hanya memberikan anaknya itu alat solek Mary Kay yang berasaskan mineral.

“Carissa menghidap ekzema dan kulitnya amat sensitif, jadi saya perlu memberikan produk mekap yang bersesuaian dengannya,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi ibu kepada kanak-kanak yang gemar bersolek dan hanya mahu dikenali sebagai Azaini, 30-an berkata, anaknya yang berusia sembilan tahun terpengaruh mencuba alat solek sejak dua tahun lalu.

Menurutnya, anaknya itu, Puteri Umairah Norizam terpengaruh dengan ibu saudara serta sepupu yang sebaya dengannya, selain turut belajar bersolek di laman sosial.

“Melihatkan kecenderungannya itu, saya terpaksa mengalah dan membelikan anak set alat solek untuk memenuhi minatnya itu,” katanya.


PUTERI Umairah bersama bapanya, Norizam. FOTO NSTP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 November 2017 @ 6:24 AM