RATKO Mladic ketika di ICTY. (Gambar kecil) Gambar pada 24 Julai 1996 menunjukkan pakar dari tribunal jenayah perang antarabangsa memeriksa mayat mangsa pembunuhan peramai-ramai di Pilica yang terletak kira-kira 300 km timur laut Sarajevo. FOTO AFP
AFP

BEKAS general Bosnia Serbia, Ratko Mladic dihukum penjara seumur hidup selepas didapati bersalah atas tuduhan pembunuhan beramai-ramai dan jenayah perang ketika konflik Balkan, dua dekad lalu.

Perbicaraan lelaki yang dikenali sebagai ‘The Butcher of Bosnia’ adalah yang terakhir di Tribunal Jenayah Antarabangsa bagi bekas Yugoslavia (ICTY) dan mahkamah itu akan ditamatkan bulan depan.

Mladic, 74, didapati bersalah terhadap 10 tuduhan termasuk pembunuhan beramai-ramai, keganasan perang dan jenayah kemanusiaan ketika perang 1992-1995 yang mengorbankan 100,000 orang dan mengusir 2.2 juta lagi.

Bagaimanapun, Mladic didapati tidak bersalah terhadap tuduhan pembunuhan beramai-ramai di kawasan perbandaran.

"Kerana melakukan jenayah ini, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup kepada Ratko Mladic," kata hakim Alphons Orie, sambil memanggil perbuatan itu "di antara yang paling ganas diketahui manusia".

“Keadaan ketika itu sangat kejam. Mereka yang cuba mempertahankan tempat tinggal menghadapi paksaan yang teruk. Pembunuhan beramai-ramai berlaku dan terdapat mangsa yang maut selepas dipukul.

“Ramai penjenayah yang menangkap orang Islam Bosnia tidak menghormati manusia atau bermaruah,” katanya.

Mladic turut didapati bersalah terhadap pembunuhan di Srebrenica di mana tentera bawah arahannya membunuh hampir 8,000 lelaki Islam termasuk kanak-kanak.

Mladic turut didapati bersalah mengarahkan kempen 44 bulan menembak curi dan mengebom penduduk di Sarajevo yang mengakibatkan kira-kira 10,000 mangsa terkorban selain mengambil 200 anggota tentera NATO sebagai tebusan bagi mengelakkan serangan NATO terhadap tentera Bosnia Serbia.

Dalam perbicaraan selama lima tahun ini, hampir 600 saksi memberi keterangan dan lebih 10,000 bahan bukti dikemukakan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 November 2017 @ 8:16 PM