DARI kiri, Ainol, Joe, Aweera, Hillary dan Fauzi. FOTO Ihsan Prime Domestic
Riadz Radzi
riadz@hmetro.com.my


Selepas tidak lagi bersama Wings sejak Ogos tahun lalu, gitaris Joe enggan menoleh ke belakang lagi.

Bukan masanya untuk meratap kecewa, jauh sekali untuk berdendam. Yang penting, Joe terus positif dan kini nampaknya semakin kukuh dengan band barunya, Prime Domestic.

Bersama Prime Domestic yang turut dianggotai bekas gitaris handalan Search, Hillary Ang serta individu berbakat besar iaitu Aweera (penyanyi), Fauzi (bass) dan Ainol (dram), mereka juga bakal mencetus fenomena dalam dunia rock tempatan.

Ketika ramai yang mengeluh industri muzik tempatan dikatakan semakin merudum, tetapi Prime Domestic berfikir sebaliknya.

Mereka bakal tampil dengan album sulung berjudul Prima Domestika bulan depan dan konsert sulung Konsert Public Distortion 2017 bersama XPDC di Oasis Square, Ara Damansara, Petaling Jaya pada 9 Disember ini jam 9 malam.

“Saya akui penjualan album sekarang tidak seperti dulu. Penyanyi pula lebih selesa menghasilkan single berbanding album penuh.

“Mahu tidak mahu Prime Domestic mesti buat album. Walaupun dianggotai orang lama, kami adalah band baru. Jadi, kami perlukan lagu baru untuk mengukuhkan nama band ini. Bagi saya, setiap band kena ada lagu baru. Walaupun mereka sudah ada 10 album, mereka tetap kena hasilkan album baru,” kata Joe kepada RAP.

Album sulung mereka ini mengandungi 10 lagu iaitu Ilusi Intonasi (instrumental), Lu Baca Sendiri, Malam XXXlll, Kurnia, Sidang Asap, Ritma Irama Kita, Satukan Impian, Sedingin Pluto, Takkan Aku Begitu dan Tekno Dewata.

Semuanya dicipta Joe, Hillary, Datuk M Nasir, Acap dan Boy Cliffort.

Apa yang menarik, Prime Domestic mengadakan sesi pra-dengar album berkenaan secara ‘live’ pada 2 September lalu.

Joe berkata, album berkenaan juga tidak akan dijual secara digital.

“Kalau dijual secara digital, biasanya peminat hanya membeli satu lagu. Jadi, ini boleh memberi kesan kepada kami dan sukar membuat persembahan kerana peminat hanya tahu satu lagu saja,” katanya.

Tidak dinafikan nama Joe dan Hillary adalah tarikan utama peminat untuk mendekati Prime Domestic.

Malah, Joe sendiri tidak menafikan perkara itu dan atas sebab itu mereka tetap memainkan lagu Wings dan Search (era Hillary) ketika mengadakan persembahan.

“Bagaimanapun, takkan ada bunyi Wings dan Search dalam lagu-lagu Prime Domestic. Lagu kami dihasilkan lebih kepada persembahan ‘live’. Pemain dram, Ainol juga memiliki teknik ‘stroke’ permainan tersendiri menjadikan muzik kami sedikit berbeza,” katanya.

Menurut Joe, jika boleh mereka mahu menjadi ‘premiere’ dalam kalangan ‘domestic’ atau tempatan.

Janjikan terbaik dalam Konsert Public Distortion 2017

Konsert Public Distortion 2017 bersama XPDC anjuran J&J Rochestra serta Life Scape yang akan diadakan di Oasis Square, Ara Damansara, Petaling Jaya pada 9 Disember ini adalah konsert pertama Prime Domestic.

Sebelum ini, mereka mengadakan persembahan dalam skala kecil termasuk sesi pra dengar album sulung, baru-baru ini.

Oasis Square yang boleh memuatkan 5,000 peminat bakal digegarkan selama tiga jam oleh dua band hebat ini.

Dalam konsert berkenaan, XPDC menampilkan anggota seperti Izo (gitar), Ali (penyanyi), Eddie (bass) dan Lola (dram).

PRIME Domestic. FOTO Salhani Ibrahim

“Ini konsert besar pertama kami. Ini satu lagi fasa baru Prime Domestic yang akan terus ke depan.

“Ia juga pertama kami menggunakan sistem bunyi ‘surround’. Memandangkan ia diadakan di kawasan terbuka, jadi penonton boleh mendengar bunyi yang berkualiti dari mana-mana arah di tapak konsert itu.

“Kami juga menjanjikan persembahan yang terbaik terutama dari segi produksi dan pencahayaan, “ kata Joe.

Joe berkata, mereka akan membawakan lagu dari album sulung mereka selain lagu Search dan Wings yang jarang atau tidak pernah dipersembahkan sebelum ini.

“Konsert ini agak berbeza. Kita juga akan ketengahkan gimik tertentu membabitkan persembahan ‘live’. Malah, kami juga bakal bekerjasama dengan seorang penyanyi rock popular yang masih dirahsiakan,” katanya.

Maklumat lanjut mengenai tiket sila layari laman web www.ilassotickets.com atau hubungi 03-21706333.

Aweera capai impian

Aweera yang pertama kali mengadakan persembahan di konsert berskala besar mengakui tugasnya agak berat, namun teruja dengan peluang itu.

“Saya tak pernah rakam 10 lagu untuk satu album dan menyanyi di konsert besar bersama band. Inilah pengalaman pertama dalam kerjaya nyanyian saya,” kata bekas finalis program realiti One In A Million musim ketiga ini.

Aweera berkata, dia belajar banyak perkara baru sejak menjadi anggota Prime Domestic.

“Saya rindu nak menyanyi dengan band. Sebelum ini dengan Mojo, tetapi impaknya tidak begitu kuat dan saya lebih dikenali sebagai penyanyi solo.

“Ini juga impian saya, tambahan pula menganggotai band yang sama dengan legenda rock tanah air seperti Joe dan Hillary,” katanya.

Aweera berkata, dia sudah membuat persiapan rapi termasuk menjaga staminanya bagi memberikan persembahan terbaik nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 November 2017 @ 2:39 AM