Zul Helmie mendaratkan pesawat C130H TUDM tanpa sebarang kemalangan jiwa walaupun dengan hanya satu tayar. FOTO ihsan TUDM
Norasikin Daineh
norasikin_daineh@hmetro.com.my


"SELEPAS enam jam kami cuba selesaikan masalah, ia masih berlaku dan akhir sekali, disebabkan kekurangan minyak, saya buat keputusan untuk mendarat tanpa gear pendaratan utama," kata juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Mejar Zul Helmie Zainuddin yang menceritakan semula detik cemas pesawat C130H TUDM melakukan pendaratan cemas di Lapangan Terbang Antarabangsa Labuan, semalam.

Difahamkan, pesawat berlepas pada 11.07 pagi namun selepas 10 minit kemudian, masalah kegagalan untuk melakukan pendaratan secara normal dikenal pasti.

Zul Helmie berkata, kejadian itu bermula ketika mereka melakukan latihan bagi meningkatkan tahap kecekapan anak kapal.

"Semalam, selepas selamat berlepas, kami mengalami masalah 'landing gear'. Selaku kapten, saya mengambil keputusan untuk tidak meneruskan latihan yang sepatutnya ke Kuching, Kota Kinabalu dan kembali semula ke Labuan.

"Saya membatalkan latihan dan berlegar-legar di sekitar Pulau Labuan untuk selesaikan masalah saya... hasil kerjasama anak kapal, kami cuba selesaikannya mengikut prosedur dan tindakan yang sepatutnya mengikut prosedur operasi standard (SOP)," katanya ketika ditemui dalam sidang media TUDM bersama Panglima Tentera Udara Jeneral Tan Sri Affendi Buang di Pangkalan Udara Labuan.

Katanya lagi, mereka ada dua pilihan sekiranya berlaku kejadian seperti itu mengikut senarai semak kecemasan.

"Kami ada dua pilihan untuk mendaratkan kapal yang ada masalah 'landing gear' iaitu pertama, kita mendarat dengan tanpa tayar. C130H ada tiga tayar di hadapan, kiri dan kanan.

"Kedua, kita mendarat dengan satu tayar di depan dan dua tayar kiri dan kanan tiada... saya ambil keputusan mendarat dengan pilihan kedua iaitu lebih selamat kerana ada satu tayar yang boleh kawal dan elak kesan lebih tinggi jika tanpa ketiga-tiga tayar," katanya.

Menurut Zul Helmie, hasil kerjasama semua anak kapal mereka selamat mendarat dalam kejadian itu.

"Semua anak kapal berfikiran positif dan memberikan kerjasama yang diarahkan saya dan kami hadapi kecemasan itu dengan baik.

"Selain itu, pihak berkaitan banyak membantu termasuk pasukan bantuan Pangkalan Udara Labuan dan bomba TUDM.

"Tanpa bantuan mereka ia sudah pasti sukar," katanya.

Menurutnya lagi, sebagai juruterbang mereka sudah diberi latihan untuk berhadapan situasi seperti itu menerusi latihan simulator.

"Menerusi latihan simulator, kami boleh buat apa saja keadaan seperti tanpa tayar, ribut dan sayap patah.

"Jadi kita gunakan pengalaman ini untuk situasi sebenar," katanya.

Semalam, Pesawat C130H TUDM dilaporkan melakukan pendaratan cemas selepas mengalami masalah 'landing gear' yang menyebabkan pesawat itu tidak dapat mendarat dengan normal.

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan selepas pesawat itu mendarat pada 5.29 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 November 2017 @ 7:45 PM