DUTERTE (kanan) berbual dengan Li ketika lawatan pemimpin itu di Istana Presiden di Manila kelmarin. FOTO Reuters
Reuters

Manila: Presiden Filipina, Rodrigo Duterte kelmarin memuji Perdana Menteri China, Li Keqiang berikutan peranan negara itu dalam membantu menamatkan perang selama lima bulan di Marawi.

Duterte berkata, satu raifal yang disumbangkan China adalah senjata yang membunuh ketua kumpulan Daish, Isnilon Hapilon yang mengetuai serangan di bandar itu.

Katanya, dia bakal menghadiahkan senjata itu kepada China sebagai penghargaan dalam perang untuk menawan semula Marawi.

“Saya akan memulangkan semula raifal ini supaya rakyat China tahu ia adalah simbol bantuan yang kritikal,” katanya kepada Li yang melawat Filipina.

Li adalah perdana menteri China pertama yang melawat Filipina dalam tempoh 10 tahun.

Bagaimanapun, terdapat keraguan sama ada benar senjata yang disumbangkan China itu yang membunuh Hapilon.

Sama ada tentera menggunakan sebahagian raifal daripada 6,100 senjata disumbangkan China sejak Jun lalu itu juga tidak diketahui.

Kementerian Pertahanan sebelum ini memberitahu semua senjata berkenaan diberikan kepada polis.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 November 2017 @ 3:49 AM