Dua beradik ditemui lemas di kolam tadahan air di Jalan Bahau Juasseh, Kampung Padang Lalang, hari ini. FOTO ihsan bomba
Abnor Hamizam Abd Manap
am@hmetro.com.my


DUA beradik dipercayai terjatuh sebelum lemas di dalam kolam tadahan air di Jalan Bahau Juasseh, Kampung Padang Lalang, hari ini.

Kejadian berlaku pada 6 petang ketika dua beradik, Ainul Batrisyah Mohd Nasir, 10, dan Muhammad Solehudin, 6, pergi memancing di kolam yang terletak berhampiran rumahnya.

Difahamkan, sebelum kejadian, dua beradik terbabit terlebih dahulu meminta kebenaran ibu mereka untuk ke kolam berkenaan.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan, Norazam Khamis berkata, ibu mangsa pada mulanya sempat menjenguk dua anaknya yang berada berhampiran kolam terbabit.

"Tidak lama kemudian, wanita itu mendapati dua anaknya sudah tiada. Tanpa membuang masa, dia meminta bantuan penduduk serta polis mencari dua anaknya.

"Bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 6.03 petang kemudian menggerakkan seorang pegawai dan sembilan anggota ke lokasi.

"Mangsa pertama iaitu Ainul Batrisyah ditemui pada jam 6.20 petang manakala adiknya, ditemui lima minit kemudian. Kedua-duanya disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak hospital," katanya.

Norazam berkata, mayat dua beradik terbabit kemudian dibawa ke Hospital Jempol untuk tindakan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 15 November 2017 @ 8:20 PM