ANGGOTA Bomba membawa keluar mayat mangsa kebakaran. Jamil (gambar kecil) menceritakan detik cemas kebakaran itu yang mengorbankan lima nyawa. FOTO Omar Osman
Muhaamad Hafis Nawawi dan Omar Osman
am@hmetro.com.my


“SAYA dengar suara jerit ‘Panas! Panas! Tolong! Tolong!’ dari dalam rumah itu dan cuba membuka pintu namun berkunci menyebabkan terpaksa menendang dinding rumah untuk menyelamatkan mereka."

Begitu kata Jamil Tikan, 60, seorang mangsa kebakaran di Kampung Baru Sungai Gelugor di Taman Petani Jaya, Sungai Petani.

Kebakaran empat rumah itu menyebabkan lima rentung dan seorang melecur.

Jamil berkata, sebaik berjaya masuk dalam rumah itu, dia melihat, Samsul, 40, merangkak dalam keadaan badan terbakar.

"Saya hanya menolongnya keluar selepas api di badannya terpadam sendiri namun tidak sempat menyelamatkan yang lain.

"Malah jeritan minta tolong juga tidak kedengaran selepas itu,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.


SUNGAI PETANI 07 NOVEMBER 2017. Keadaan empat buah rumah yang musnah dalam kebakaran yang mengorbankan lima mangsa dan seorang melecur teruk dekat Kampung Baru Sungai Gelugur,Taman Petani Jaya, awal pagi tadi. STR/OMAR OSMAN

Menceritakan semula kejadian itu, dia berkata, sebelum kejadian itu, dia baru selesai solat tahajjud sebelum terdengar bunyi letupan kecil.

"Saya kemudian keluar sebelum terkejut melihat api marak di rumah jiran.

"Saya kemudian terus mengejut ibu mentua, isteri dan adik ipar supaya keluar dari rumah dan berlari ke rumah jiran menjerit mereka keluar.

"Saya sedih kerana gagal menyelamatkan mereka yang berada di dalam rumah itu. Semua mereka saudara saya sekampung di Madura, Indonesia," katanya.

Berita berkaitan

Luahan hati si isteri

[UPDATE] Lima warga Indonesia rentung

Lima rentung di Sungai Petani

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 November 2017 @ 3:17 PM