FOTO Amir Irsyad Omar
Zulfa Mohamad
am@hmetro.com.my


DUA puluh pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Haji Ahmad Said, Sungai Dua, Butterworth, dibawa menaiki lori polis untuk menduduki peperiksaan SPM, hari ini.

Nurul Farhanim Fadhil, berkata semangatnya tidak terjejas walaupun terpaksa naik lori untuk ke sekolah.

Dia berkata, mereka terpaksa menaiki lori untuk masuk ke sekolah yang dilanda banjir.


FOTO Amir Irsyad Omar

Menurutnya, rumahnya di Sungai Dua turut dimasuki air paras lutut sejak kelmarin, tetapi dia tetap membuat ulangkaji terakhir untuk menghadapi SPM hari ini.

“Mulanya saya tak tahu kena naik lori untuk masuk sekolah. Hanya selepas melihat beberapa pelajar naik lori, saya pun ikut kerana tidak mahu terlepas menduduki peperiksaan,” katanya.


FOTO Amir Irsyad Omar

Pelajar, Haris Afnan Nor Effendi, 17, dari Taman Desa Sena berkata, mulanya dia henak meredah banjir untuk masuk ke sekolah, tetapi dimaklumkan perlu menaiki lori.

“Semangat saya tidak terjejas walaupun terpaksa naik lori. Lagipun saya sudah membuat ulang kaji sebelum ini dan hanya mahu fokus pada SPM," katanya.

Sementara itu, Norfiza Ramli, 50, berkata dia turut hadir untuk memberi semangat kepada anaknya, Norafikah Syahirah Ismail, 17, menduduki peperiksaan walaupun terpaksa menaiki lori.

“Rumah kami di Alor Merah turut dinaiki air paras paha menyebabkan kami berpindah sementara ke rumah saudara di Taman Desa Murni," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 November 2017 @ 9:55 AM