VAN jenazah membawa jasad Ramli Abdul Majid keluar dari KLIA untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Batu 14 Puchong. FOTO Mohd Fadli Hamzah
Mohd Husni Mohd Noor
mhusni@hmetro.com.my


JASADNYA ditemui akhir Oktober 2017 selepas setahun hilang di bawah timbunan salji Gunung Damavand, Iran.

Hari ini, jasad pendaki, Ramli Abd Majid, selamat tiba di tanah air. Jenazah tiba pada 10.20 pagi.

Jenazah Ramli tiba di KLIA dengan pesawat Mahan Air penerbangan W583 dan kemudian dibawa dengan van jenazah DRB Hicom, pada 11.20 pagi.

Turut sama mengiringi jenazah termasuk dua peronda motosikal polis dan beberapa kenderaan dipercayai ahli keluarga arwah, termasuk isterinya, Roslida Ablah, 42.

Difahamkan, jenazah terus dibawa ke Masjid Asy Syakirin, Puchong Utama, untuk solat jenazah sebelum dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Batu 14, Puchong, untuk dikebumikan.

Pada 29 Oktober lalu, Wisma Putra mengesahkan jasad ditemui oleh pihak berkuasa Iran di kawasan Gunung Damavand, Iran, adalah Ramli, pendaki Malaysia yang dilaporkan hilang sejak 20 November 2016.

Jasad Ramli ditemui sekumpulan pendaki Iran ketika menuruni gunung itu pada ketinggian 4,300 meter, sebelum Palang Merah Iran menghantar pasukan mencari dan menyelamat (SAR).

Roslida dan beberapa ahli keluarga lain kemudian terbang ke Iran bagi membuat pengecaman.

Jenazah dimandi dan dikafankan oleh pengurusan Pusat Pengebumian Behesht-e Zahra di Tehran.

Ramli, 44, hilang pada November tahun lalu bersama rakannya, Syed Redzuan Syed Salim Shatri, ketika berada pada ketinggian 4,200 meter Gunung Damavand.

Bagaimanapun, jasad Syed Redzuan ditemui enam hari selepas dilaporkan hilang manakala Ramli gagal dikesan ketika itu sehinggalah ditemui setahun kemudian.

Berita berkaitan

Sah mayat Ramli

[UPDATE] Pakaian, peralatan jadi petunjuk

'Motivasi Ramli kental sentiasa diingati'

Dua bulan lalu dah dapat petunjuk [METROTV]

Bawah timbunan salji

Tenang dalam gelora

Mula edar foto

Masih tiada petunjuk baru

Belum ada tanda

Tiada petunjuk baru

Dua rakyat kita dikhuatiri hilang

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 November 2017 @ 12:05 PM