DR Shamsul (dua kanan hadapan) bergambar bersama pelajar tingkatan lima, SMK Pulau Indah.
Fuad Hadinata Yaacob dan Faliq Lajim
am@hmetro.com.my


Pelabuhan Klang: “Semalam (kelmarin), saya menangis kerana risau dengan masa depan selain peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang akan bermula minggu depan.

“Namun hari ini (semalam), motivasi yang diberikan oleh Datuk (Dr Shamsul Anuar Nasarah) mengembalikan semula semangat saya,” kata Shahrulzaman Kamarulzan, 17.

Shahrulzaman adalah pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pulau Indah dan juga calon SPM 6 November ini.

Semalam, sekolah berkenaan dikunjungi Pengerusi Biro Kebajikan UMNO Malaysia (BiKUM) Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah serta Ketua Pemuda UMNO Selangor Zainuri Zakaria yang turut menyampaikan ceramah motivasi.

Hadir sama Pengetua sekolah berkenaan Mohd Azuan Mohd Nawawi.

Menurut Shahrulzaman, motivasi daripada kedua-dua tokoh itu memberi semangat kepadanya dan juga rakan lain yang kebanyakannya gementar berikutan peperiksaan SPM hanya tinggal beberapa hari lagi.

“Pada sesi ceramah itu, Datuk (Shamsul) memetik pelbagai kata-kata orang tersohor termasuk dari Indonesia seperti ‘Gantungkan cita-citamu setinggi langit! Bermimpilah setinggi langit. Jika engkau jatuh, engkau akan jatuh di antara bintang-bintang.’

“Saya suka dengan kata-kata ini dan ia menaikkan semangat saya,” katanya.

Bagi Siti Nor Shasha Haron, 17, motivasi itu sangat membantu pelajar terutama yang bakal menduduki peperiksaan SPM.

“Datuk (Shamsul) berkata, ‘jika ayah kamu nelayan, kamu mesti mendapat pekerjaan yang lebih baik daripada ayah kamu.’

“Kebetulan, ayah saya adalah nelayan dan tiada masalah untuk seseorang itu menjadi nelayan namun dalam kehidupan kita mesti mahu yang terbaik,” katanya yang bercita-cita menjadi akauntan.

Sementara itu, Shamsul yang juga Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) turut mengumumkan sumbangan RM11,000 kepada sekolah itu untuk kemudahan pelajar.

Beliau berkata, program itu diharap dapat meningkatkan semangat pelajar termasuk ibu bapa betapa pentingnya pendidikan pada masa kini.

“Hanya pendidikan yang boleh membantu mengubah kehidupan masyarakat dan kerana itu kita turun padang mendekati golongan pelajar supaya mereka lebih bersemangat menuntut ilmu,” katanya.

Pada majlis sama, Pemuda UMNO Klang turut menyumbang RM3,000 kepada sekolah berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 November 2017 @ 9:02 AM