BERSAMA (dari kiri) Hulk, Valkyrie dan Loki.
BERSAMA pengarah, Taika ketika menjalani penggambaran di studio Village Road Show.
LAKONAN dalam filem Ghostbusters tahun lalu bantu Chris hidupkan elemen komedi dalam Thor: Ragnarok.
Riadz Radzi
riadz@hmetro.com.my


Ketika artikel ini ditulis, filem Thor : Ragnarok sudah mencatat kutipan melebihi RM450 juta sejak mula ditayangkan di seluruh dunia minggu lalu.

Dalam beberapa ulasan, filem adiwira lakonan Chris Hemsworth, Tom Hiddleston, Cate Blanchett, Sir Anthony Hopkins, Mark Ruffalo, Idris Elba dan Tessa Thompson ini juga dikatakan antara filem terbaik terbitan Marvel Studios.

Malah, Thor: Ragnarok juga dikatakan lebih baik berbanding dua siri sebelumnya iaitu Thor pada 2011 dan Thor: The Dark World (2013).

Ketika filem ini menjalani penggambaran di Brisbane dan Gold Coast, Australia pada September tahun lalu, penulis antara yang diundang bersama 10 lagi wartawan dari beberapa negara di seluruh dunia membuat liputan di sana.

Hampir keseluruhan penggambarannya dijalankan di studio Village Roadshow di Oxenford, Gold Coast dan sekitar bandar raya Brisbane dan Sydney yang bermula Julai tahun lalu.

Marvel Studio turut menggunakan semua sembilan studio ‘sound stages’ di Village Roadshow dan menukarkannya kepada planet Asgard dan Sakaar seperti yang terdapat dalam filem berkenaan.

Peluang bersemuka dengan pelakon utamanya seperti Chris, Tom, Cate, Tessa dan pengarahnya, Taika Waititi semenangnya satu pengalaman menarik.

Apatah lagi, temu bual dijalankan ketika Chris dan Tom masih mengenakan kostum Thor serta Loki.

Dalam erti kata lain, masing-masing masih ‘in character’ kerana mereka baru saja menghabiskan babak membabitkan Valkyrie (lakonan Tessa) dan Hulk.

Apa yang menarik mengenai Thor: Ragnarok ialah elemen komedi yang diterapkan pengarahnya, Taika sekali gus mencetuskan perbezaan berbanding Thor dan Thor: The Dark World sebelum ini.

Chris ketika ditemui RAP mengakui perbezaannya sepanjang menjalani penggambaran filem ini kerana Thor sebelum ini bukanlah seorang yang kelakar.

Menurut Chris, lakonan dalam filem Ghostbusters tahun lalu banyak membantunya menghidupkan elemen komedi dalam Thor: Ragnarok.

“Banyak pengalaman baru saya peroleh. Filem ini (Thor: Ragnarok) memberi idea untuk melakukan beberapa perkara yang tidak pernah saya lakukan.

“Jadi, saya perlu memberi kredit kepada (filem) Ghostbusters yang banyak membantu menghidupkan watak komedi,” katanya kepada RAP.

Dalam Ghostbusters, Chris membawa watak Kevin, lelaki tampan tetapi lurus bendul dan ‘bodoh-bodoh alang’ yang bekerja sebagai kerani kepada pasukan Ghosbusters lakonan Melissa McCarthy, Kristen Wiig, Kate McKinnon serta Leslie Jones.

Ditanya mengenai pengalamannya bekerja dengan Taika, Chris berkata, ia sangat menyeronokkan kerana setiap hari di set penggambaran penuh gelak ketawa dan ‘kegilaan’.

Namun, pada masa sama, mereka tetap serius dan fokus dengan kerja.

“Setakat ini boleh katakan ia antara lakonan saya yang paling menyeronokkan. Taika mewujudkan suasana santai, seronok dan sesuai dengan ‘tone’ filem ini.

“Ia membuatkan anda rasa okey melakukan sesuatu yang tidak pernah anda lakukan sebelum ini. Taika juga seorang yang boleh membuatkan kita berfikir di luar kotak. Kita akan berasa selesa dan percaya dengannya. Saya rasa semua yang terbabit dalam filem ini merasai perkara yang sama. Ia cukup hebat,” katanya.

Dalam pada itu, Chris juga gembira kerana dia dapat bertemu semula dengan Tom dan Idris yang turut berlakon dalam Thor pada 2011.

“Jadi, kami banyak mengenang kembali cerita menarik ketika membintangi Thor yang pertama dulu. Begitu juga dengan seorang yang amat saya hormati iaitu Anthony Hopkins. Dia juga amat teruja berlakon dalam filem ini.

“Saya juga dapat rasakan satu semangat dalam filem ini apabila semua orang dapat berasakan mereka melakukan sesuatu yang unik,” katanya.

Kagum dengan sambutan di Brisbane

Sebagai anak jati Australia yang dilahirkan di Melbourne, sudah pasti Chris bangga kerana filem ini menjalani penggambaran di tanah airnya.

Menurut Chris, ketika menjalani penggambaran di Brisbane, dia tidak pernah melihat orang ramai begitu teruja dengan penggambaran itu.

Selain studio Village Road Show, mereka menjalani penggambaran selama empat hari di sekitar pusat bandar raya Brisbane yang dijadikan sebagai kota New York dalam filem ini.

“Mereka memenuhi jalan raya untuk menyaksikan penggambaran, malah aktiviti di bandar raya itu seperti ‘terhenti’ beberapa hari kerana teruja dengan kehadiran kami.

“Kami cuba melayan mereka sebaik mungkin dengan memberikan autograf dan bergambar. Ia sangat istimewa dan menyeronokkan.

“Orang ramai tanpa mengira usia datang setiap hari. Tanpa mengira malam atau siang, hujan atau tidak, mereka tetap ada di situ. Malah, saya turut mengedarkan piza kepada mereka yang dibeli pengurus lokasi, Duncan Jones,” katanya.

Chris berkata, dia turut terkesan dengan kesungguhan seorang remaja yang datang setiap hari ke lokasi semata-mata mahu bertemu Tom Hiddleston.

“Dia melukis potret Loki dan mahu memberinya kepada Tom. Dia sanggup datang setiap hari ke lokasi dengan harapan dapat bertemu Tom. Akhirnya, produksi mengatur pertemuannya dengan Tom yang turut mendapat liputan stesen TV tempatan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 November 2017 @ 5:50 AM