ABD Wahab (tengah) bersama atlet tinju Sekolah Henry Gurney selepas merasmikan Hari Apresiasi Kokurikulum Sekolah Integriti dan Sekolah Henry Gurney di Telok Mas.
Zairee Mohd Yasak
am@hmetro.com.my


Melaka: Pemuda yang juga penghuni Sekolah Henry Gurney (SHG) Telok Mas, di sini, menganggap sukan tinju diceburi sepanjang ditahan di sekolah pemulihan akhlak itu sebagai ‘ubat’ mujarab dalam meredakan sikap panas barannya yang menjadi-jadi terutama ketika zaman remajanya.

Pemuda yang hanya mahu dikenali sebagai Razlan berusia 20-an berkata, akibat gagal mengawal sikap panas baran, dia kerap bertumbuk sebelum ditahan di SHG sejak 2015 selepas didapati bersalah atas kesalahan melakukan ugutan.

Dia menganggap keputusan mahkamah itu mempunyai hikmah kerana dapat mengawal sikap panas baran selepas aktif dalam sukan tinju.

Malah, hasil kesungguhan ditunjukkan Razlan, kini menjadi antara atlet muda dipilih mewakili Melaka pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Perak tahun depan.

“Saya ini jenis ‘telinga nipis’ pantang ada yang menegur pasti panas baran menjadi-jadi, kesudahannya kami bertumbuk.

“Ketika mula ditahan di SHG saya dikenali sebagai kaki gaduh, sehinggakan rakan sebilik tak berani tegur apatah lagi bersembang.

“Namun, selepas aktif dalam sukan tinju, saya semakin ramai kawan, ada dalam kalangan mereka yang gerun dengan saya sudah berani tegur semula.

“Mereka lihat ada perubahan mendadak dalam diri saya daripada seorang pemarah kepada penyabar selepas terbabit dalam sukan tunju,” katanya.

Razlan berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Hari Aspresiasi Ko Kurikulum Sekolah Integriti dan Sekolah Henry Gurney, di sini, semalam yang dirasmikan Pengarah Penjara Johor Komisioner Penjara Abd Wahab Kassim.

Hadir sama pada majlis itu Pengarah Majlis Sukan negeri Melaka Ismail Abdol Jalil.

“Memang tak sangka latihan tinju selama dua bulan saya ikuti mampu mengubah diri dan sikap dalam sekelip mata, mungkin itulah hikmah dihantar ke sekolah ini, harap saya mampu cemerlang dalam sukan selepas ini,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi penghuni yang ingin dikenali sebagai Guns, 19, berkata, pembabitan dalam sukan itu mendidiknya menjadi seorang yang berdisiplin.

Guns atau lebih popular dengan panggilan Durian dalam kalangan rakannya memberitahu, kata-kata semangat keluarga menguatkan lagi azamnya untuk menyerlah dan mahu terus aktif dalam sukan tinju selepas dibebaskan dua tahun lagi.

“Dua bulan menjalani latihan dalam sukan ini membuka mata saya dalam mencari kebahagiaan hidup sebenar kerana masa yang berlalu tidak dapat dibeli semula,” katanya.

Kejayaan meraih pingat gangsa pada Kejohanan Tinju Piala Datuk Bandar Johor Bahru pada September lalu dalam kategori 56 kilogram, membakar semangatnya untuk terus mencapai kecemerlangan selepas ini.

Pada majlis itu Ismail turut mengumumkan Projek Henry Gurney, iaitu program perintis kendalian pihaknya dalam usaha melahirkan lebih ramai atlet dalam kalangan orang muda di negeri ini.

Beliau berkata, menerusi program itu semua penghuni SHG berpeluang menceburkan diri masing-masing dalam enam jenis sukan dibahagikan kepada dua kategori iaitu jenis fizikal dan bakat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 November 2017 @ 6:03 AM