ZUROTULAIN Kharulanuar yang dikhuatiri hilang di laut bersama enam pemancing. FOTO Nur Syazwana Mansor
Nur Syazwana Mansor
am@harianmetro.com


"SAYA berharap suami bersama enam pemancing yang bersamanya segera ditemui dan dalam keadaan selamat."

Demikian luahan Zurotulain Ishak, 33, isteri kepada tekong bot, Kharulanuar Arshad, 39, yang dikhuatiri hilang di laut bersama enam pemancing pada jarak13 batu nautika, Barat Pulau Bunting dari Jeti Kuala Sala, Yan, semalam.

Menurut Zurotulain, kali terakhir dia bertemu suaminya pada jam 6.30 pagi semalam sebelum Kharulanuar keluar dari rumah mereka di Kampung Padang Jambu, Simpang Empat, Kangkung untuk ke Jeti Kuala Sala bagi membawa pemancing.

Katanya, bagaimanapun suaminya tidak pulang ke rumah seperti yang dijadualkan, namun dia tidak mengesyaki sesuatu yang buruk sehinggalah rakan suaminya datang meminta salinan kad pengenalan suami.

"Saya ada menghubungi suami saya pada kira-kira jam 10 malam tadi (semalam) memandangkan dia belum pulang ke rumah ketika itu, namun gagal dihubungi.

"Saya fikir bateri telefon dia habis dan tidak mengesyaki sesuatu yang buruk berlaku kerana suami sering pulang lewat kerana menyelesaikan hal-hal bot, malah pernah pulang ke rumah pada jam 2 atau 3 pagi.

"Namun, saya terkejut apabila mengetahui dia bersama pemancing lain hilang pagi tadi," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Operasi Pangkalan Maritim Kuala Kedah, Leftenan Maritim Hairilizhar Norazmi berkata, operasi mencari dan menyelamatkan akan dibuat sehingga jam 7 malam hari ini dan akan bersambung esok sekiranya semua mangsa tidak ditemui.

Katanya, setakat ini hanya dua daripada tujuh mangsa dikenali identiti mereka selepas waris tampil membuat laporan.

"Seorang mangsa yang dikenal pasti identiti adalah tekong bot, Kharulanuar dan seorang lagi pemancing berasal dari Taman Selasih, Kulim,Mohd Ramli, 57 manakala lima lagi mangsa lain dikatakan berasal dari Nibong Tebal, Pulau Pinang," katanya ketika ditemui di Jeti Kuala Sala,Yan hari ini.

Berita berkaitan:

Tujuh hilang di laut

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Oktober 2017 @ 11:05 PM