Suraya Roslan dan Asrizal Aris
am@hmetro.com.my


ISTERI Allahyarham Ramli Abd Majid, 46, yang mayatnya ditemui Jumaat lalu di Gunung Damavand, Iran selepas hampir setahun hilang, mendapat petunjuk suaminya sudah meninggal dunia menerusi mimpi dua bulan lalu.

Roslida Ablah, 42, berkata, ketika dia tertidur sementara menanti azan Subuh, dia bermimpi dia dan suaminya sedang menunggu sebuah van untuk ke satu destinasi namun hanya dia sahaja yang meneruskan perjalanan.

"Dalam mimpi itu, saya dan arwah mahu menaiki van tetapi sebaik sahaja saya naik tiba-tiba van itu bergerak dan suami saya tertinggal di belakang.

"Saya memberitahu kepada pemandu bahawa suami saya tertinggal, tetapi pemandu itu menjawab satu masa nanti kita akan pusing balik.

"Apabila saya bertanya kepada ustaz berkenaan mimpi itu, saya terdiam dan mendapat petunjuk bahawa suami saya memang sudah meninggal dunia sejak dia hilang," katanya ketika ditemui di kediamannya di Puchong Utama, hari ini.

Menurut Roslida, dia bagaimanapun bersyukur dan menganggap doanya dimakbulkan selepas jasad jenazah suaminya akhirnya ditemui di Gunung Damavand selepas dilaporkan hilang pada 20 November tahun lalu.

"Memang saya sentiasa harapkan jasadnya ditemui supaya ada pusara untuk saya ziarah. Kalau hilang begitu sahaja, kita yang hidup pun terasa terawang-awang dan tertanya-tanya arwah masih hidup atau mati.

"Sepanjang setahun arwah dilaporkan hilang, saya tak putus berdoa. Selepas mengetahui berita pengesahan penemuan mayatnya semalam, saya redha dan lega," kata ibu kepada seorang anak itu.

Menurut Roslida, anak tunggalnya, Muhammad Fauzi Ramli, 17, bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak lama lagi dan berharap anaknya tidak menghadapi sebarang tekanan.

"Anak saya bersekolah di Pahang dan tinggal bersama datuknya di sana namun dia tenang menerima berita penemuan mayat ayahnya itu beberapa hari lalu.

"Andai jasad boleh dibawa pulang dengan segera, jenazah dijangka dikebumikan di Batu 14, Puchong," katanya.

Roslida dan abang iparnya, Abdul Razak Abd Majid, 59, dijangka akan berlepas ke Iran malam esok bersama Pendaki Kelab Jelajah Alpine (KJA) Mohd Khafiz Bachok, 39, serta dua lagi pegawai dari bahagian Sumber Manusia Proton.

Kedatangan mereka ke Iran untuk menjalankan proses pengecaman serta proses pengesahan DNA terhadap mayat Ramli di Hospital Tehran yang berkemungkinan mengambil masa sehingga Sabtu.

Jumaat lalu. Agensi berita Iran, IRNA, melaporkan satu mayat dipercayai rakyat Malaysia ditemui sekumpulan pendaki ketika menuruni gunung itu pada ketinggian 4,300 meter.

Semalam, Kementerian Luar Negeri mengesahkan mayat yang ditemui di kawasan Gunung Damavand Jumaat lalu adalah jenazah pendaki negara, Ramli Abd Majid, yang dilaporkan hilang sejak 20 November 2016. 

Kementerian Luar Negeri dalam satu kenyataan berkata, Kedutaan Besar Malaysia di Tehran sedang menghulurkan bantuan untuk membawa pulang jenazah berkenaan ke Malaysia.

Berita berkaitan

Sah mayat Ramli

'Motivasi Ramli kental sentiasa diingati'

Mayat pendaki ditemui selepas setahun

Dua rakyat kita dikhuatiri hilang

Jumpa jasad dan objek

Syed Redzuan selamat dikebumi [METROTV]

Terus usaha cari seorang lagi pendaki

Operasi SAR ditangguhkan

Tangguh pencarian

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Oktober 2017 @ 10:24 PM
Roslida melihat gambar kenangan perkahwinan mereka dan gambar arwah suaminya mendaki gunung di kediaman beliau di Puchong, hari ini . FOTO ZULFADHLI ZULKIFLI