Raub (tengah) menunjukkan barang rampasan hasil tangkapan empat individu termasuk budak lelaki 12 tahun yang juga dalang kecurian lebih 10 motosikal. FOTO Ahmad Ismail
Ahmad Ismail
am@hmetro.com.my


BUDAK lelaki 12 tahun yang dikehendaki polis kerana disyaki dalang kecurian lebih 10 motosikal antara empat yang ditahan ketika cuba mencuri kenderaan itu di sekitar bandar Segamat pada 4 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Segamat Superintendan Raub Selamat berkata, kanak-kanak lelaki itu dan tiga rakannya berusia 20-an hingga 30-an diberkas 'Team Lejang' yang ditubuhkan bulan lalu, bagi menangani masalah kecurian motosikal di daerah berkenaan.

Menurutnya, dalam tangkapan semalam, pihaknya bertindak atas maklumat orang ramai sebelum melakukan intipan dan menahan keempat-empat individu berkenaan selain merampas beberapa peralatan dipercayai digunakan untuk mencuri motosikal.

"Hasil siasatan awal, kami dapati kanak-kanak berkenaan memiliki kepakaran mengubah suai nombor casis dan menukarnya dengan hanya mempelajari seni ukiran menerusi Youtube dan media sosial.

"Suspek biasanya akan mengubah suai nombor casis motosikal Honda EX5, Yamaha RXZ dan pelbagai jenis skuter bergantung kepada permintaan dan hasilnya terlalu halus hingga sukar dipastikan menggunakan mata kasar kecuali dihantar ke Jabatan Forensik.

"Kami dapati, disebabkan kemahirannya itu dia menjadi antara bakat paling dikehendaki oleh mat rempit dan ramai orang dewasa sanggup mengikut telunjuknya mencuri motosikal," katanya ketika ditemui, hari ini.

Menurutnya, hasil tangkapan itu pihaknya berjaya menyelesaikan kira-kira kes kecurian motosikal termasuk penemuan rangka motosikal di beberapa lombong di sekita Jalan Kuari, Sungai Buloh, Buloh Kasap, Sungai Segamat, Batu Anam, Labis dan Jementah.

Katanya, kesemua suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini dan disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana curi motosikal, jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga tujuh tahun dan denda.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 Oktober 2017 @ 9:36 PM