Muhaamad Hafis Nawawi
mhafis@hmetro.com.my


LELAKI orang kurang upaya (OKU) kudung kaki kanan dan teman wanitanya dihukum gantung sampai mati dan penjara 10 tahun oleh Mahkamah Tinggi Alor Setar hari ini atas dua pertuduhan mengedar serta memiliki dadah dua tahun lalu.

Hakim Datuk Hashim Hamzah menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Samri Hashim, 40, dan Salina Dtiataudin, 32, selepas berpuas hati apabila pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Muhammad Samri yang berpakaian T-shirt merah dan seluar jeans biru turut dikenakan 10 sebatan kerana memiliki dadah.

Mengikut pertuduhan pertama, mereka didakwa mengedar dadah seberat 26.87 gram (g) iaitu 23.32 g heroin dan 3.55 g monoacethymorphines di dalam kereta Proton Perdana di Jalan Buki Awi, Kulim jam 1 pagi pada 12 Mac 2015.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa memiliki dadah methamphetamine seberat 39.41 g di dalam kereta Proton Perdana di Jalan Buki Awi, Kulim jam 1 pagi pada 12 Mac 2015.

Mereka didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952, jika sabit kesalahan boleh dipenjara seumur hidup atau minimum lima tahun dan minimum 10 sebatan.

Salina yang juga ibu tunggal anak tiga turut kelihatan sebak sebaik dijatuhkan hukuman itu sebelum sempat menemui dua anaknya yang datang bersama keluarga ke mahkamah itu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Norshuhada Mohd Yatim sementara tertuduh diwakili peguam bela M Chandran dan Burhanudeen Abd Wahid.

Muhammad Samri sebelum ini pada tahun 2005 pernah dijatuhkan hukuman tiga tahun penjara serta empat sebatan kerana kesalahan memiliki dadah mengikut Seksyen 39A(1) dan Seksyen 12, Akta dadah Berbahaya 1952.

Malah dia juga turut dihukum penjara lima tahun pada 2006 atas tuduhan cubaan membunuh selepas merempuh seorang anggota polis ketika mahu melarikan diri di depan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Keat Hwa, Jalan Kampung Perak, Alor Setar pada 7 Julai 2005.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Oktober 2017 @ 3:50 PM
Muhammad Samri (depan) bersama Salina (belakang) dihukum gantung sampai mati dan penjara 10 tahun oleh Mahkamah Tinggi Alor Setar atas kesalahan mengedar dan memiliki dadah pada dua tahun lalu di Kulim. FOTO SHARUL HAFIZ ZAM