Osman Lisut
manlee@bh.com.my


SELEPAS mengayuh hampir sebulan sejak pertengahan September lalu, Datuk Hasan Nawawi mengambil keputusan berehat sebaik tiba di kota Istanbul, Turki.

Menurut Hasan, hanya tinggal tiga daerah iaitu Silivri, Ahmetbey dan Erdine, membabitkan kira-kira 200 kilometer untuk sampai ke Svilengard, sempadan di Bulgaria.

“Berehat lima hari di kotaraya terbesar Turki itu membolehkan saya membuat persiapan rapi untuk berkayuh di bumi Balkan.

“Selain itu dapat mencari alat ganti basikal, pakaian yang sesuai musim sejuk, makanan pemberi tenaga.

IHSAN Datuk Hasan Nawawi

“Berdasarkan pengalaman dan kemampuan, saya menjangkakan jarak sejauh itu mampu melakukan kayuhan antara dua dan tiga hari jika tiada sebarang halangan.

“Saya menetapkan sasaran Rabu depan mampu menyempurnakan misi kayuhan di Turki.

“Selepas itu menanti enam negara iaitu Bulgaria, Serbia, Bosnia, Croatia, Slovenia dan Itali.

IHSAN Datuk Hasan Nawawi

“Hanya Itali yang sempat saya singgah ketika mengelilingi dunia sejauh 26,565 kilometer selama 389 hari pada 2001 lalu.

“Tidak tahu pula apa halangan yang menanti di enam negara Balkan lain kerana tidak pernah berkayuh di situ,” katanya kepada Harian Metro.

Menurut Hasan, beliau begitu bersemangat untuk menghadapi cabaran di negara Balkan memandangkan ketika ini musim luruh dan menghampiri musim sejuk.

“Jika di Iran saya berkayuh di cuaca panas, kemudian dingin dan hujan di Turki, tidak tahu apa yang bakal menanti di Bulgaria dan seterusnya empat negara lain.

“Pengalaman di Turki, menyebabkan saya begitu berhati-hati bagi mengelak kesejukan melampau - ialah kita berasal dari negara cuaca tropika,” katanya berseloroh.

Beliau berkata, dia memilih untuk berehat ‘agak lama’ di Istanbul, memandangkan penduduk Turki peramah dan menyanjungi mereka yang memiliki hobi mencabar seperti berbasikal.

“Tambahan pula, Istanbul menggabungkan dua budaya Asia-Eropah dan ia menjadi kotaraya yang ingin saya lawati sejak dulu lagi.

“Apabila dijemput oleh Duta Malaysia, Datuk Abdul Razak Abd Wahab untuk bersama-sama meraikan kehadiran Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ke Istanbul, saya terus menerimanya.

“Kesempatan itu juga saya gunakan untuk bersiar-siar sekitar Istanbul termasuk mengunjungi Hagia Sophia, Sultanahmet, Besiktas, Muzim Tentera Laut Turki dan ke Kopadokya bagi menaiki belon panas serta lorong bawah tanah Kaymakli,” katanya.

Beliau berkata, bagi mereka yang pernah ke Istanbul, menjadi kemestian menaiki ‘cruise’ menyusuri Selat Bosphoros bagi melihat pemandangan indah kotaraya Istanbul di sebelah malam.

“Seorang dikenakan caj RM168 (USD40) untuk tempoh 3 1/2 jam pelayaran. Sambil menikmati pelbagai juadah yang enak, pengunjung boleh menonton tarian tradisional Turki - gelek dan ‘belly dance’ selama dua jam. Malah, tetamu juga diajak menari bersama,” katanya.

Tempat menarik lain di Istanbul ialah Taman Ozdilek, Taman Yildiz, Menara Jam Dolmabahce, Istana Dolmabahce, Istana Beylerbeyi, Istanbul Sapphire, Bomonti Ada dan banyak lagi.Negara ketiga yang akan dijelajahi Hasan selepas ini, Bulgaria yang dijangka dilakukan awal November.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 Oktober 2017 @ 11:17 AM
IHSAN Datuk Hasan Nawawi