COLLAGE yang dipetik daripada CCTV yang menunjukkan peragut cuba meragut wanita di depan rumah mangsa di Desa Chemor Permai.
Farah Suhaidah Othman
am@hmetro.com.my


DUA lelaki ditahan bagi membantu siasatan susulan video kes ragut di Chemor, Ipoh, yang viral di laman sosial hari ini.

Video berdurasi 57 saat itu menunjukkan lelaki menghampiri wanita dari belakang sebelum meragut rantai leher mangsa di depan rumah di Desa Chemor Permai, Chemor.

Ketua Polis Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong, berkata polis menahan dua lelaki dipercayai boleh membantu siasatan dalam kes berkenaan.

“Suspek pertama ditahan semalam. Dia direman tujuh hari hingga Khamis ini. Suspek kedua ditahan hari ini. Dia direman empat hari.

“Kedua-duanya berusia lingkungan 30-an. Mereka ditahan bagi membantu siasatan.

“Semakan mendapati suspek masing-masing mempunyai satu rekod jenayah membabitkan jenayah dan dadah," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Chang Keong berkata, mangsa berusia 34 tahun yang bekerja sebagai kerani dipercayai baru pulang ke rumah dari tempat kerja, pada kira-kira 7 petang, Rabu lalu.

“Setiba dia di depan rumah, suspek datang dari belakang dan menarik rantai leher mangsa.

“Mangsa melawan dan terjatuh sebelum menjerit minta tolong.

“Sebaik suami mangsa keluar dari rumah, suspek yang tidak sempat mengambil barang kemas itu melarikan diri menaiki motosikal bersama rakannya,” katanya.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan kerana cubaan samun.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Oktober 2017 @ 7:27 PM