Roslizawaty bersama Putri Dania Aleesya. FOTO ihsan BATAS Wilayah Persekutuan
Yusmizal Dolah Aling
yusmizal@hmetro.com.my


“KALAU mengikut doktor, masa semakin suntuk dan saya perlu segera mendapatkan wang untuk menampung kos pembedahan sebanyak RM45,000.

“Saya akan cuba cari sampai dapat dan harap orang ramai dapat membantu kerana saya tidak boleh lihat dia dalam keadaan kesakitan,” kata Roslizawaty Mohd Rejab.

Ibu tunggal itu berkata, anaknya, Putri Dania Aleesya Zulkifle, 8, disahkan mengidap jantung berlubang sejak berumur tiga tahun selepas menjalani pemeriksaan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Menurutnya, kekangan kewangan menyebabkan dia hanya mampu membawa anaknya menjalani pemeriksaan susulan.

“Namun dengan kos RM700 setiap sesi, saya tidak mampu kerana tidak mempunyai pendapatan tetap.

"Saya tidak bekerja dan hanya bergantung kepada wang pampasan arwah suami yang meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya dua tahun lalu. Putri juga tidak ke sekolah kerana keadaan kesihatannya,” katanya.

Dia berkata, anaknya sebelum ini belajar di Sekolah Kebangsaan Wangsa Maju Seksyen 1 tetapi kerana kesihatan yang tidak menentu, dia kerap ponteng.

“Pernah dia pulang ke rumah dengan wajah kebiruan dan saya tidak benarkan dia ke sekolah," katanya ketika menerima kunjungan Pengerusi Badan Amal Tarbiah Sejagat (BATAS) Wilayah Persekutuan Saharudin Bakar.

Roslizawaty berkata, dalam pertemuan dengan doktor baru-baru ini, dia dimaklumkan perlu menyediakan RM45,000 dalam masa enam bulan untuk membiayai kos pembedahan di Institut Jantung Negara (IJN) dan ia perlu dilakukan segera.

Katanya, keadaan itu menyebabkan dia buntu memikirkan kos yang begitu tinggi kerana pada masa sama, dia juga menanggung dua anak yang masih bersekolah.

Sementara itu, Saharudin berkata, BATAS Wilayah Persekutuan bersama Kelab Motosikal Raden Work Kampung Pandan akan membantu mengumpul sumbangan untuk membantu keluarga berkenaan membiayai pembedahan itu.

Katanya, pada peringkat permulaan, pihaknya akan memohon bantuan menerusi kumpulan WhatsApp beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) selain melalui aktiviti kelab motosikal.

"Kita cuba bantu keluarga ini memandangkan masa yang ada juga semakin suntuk. Mereka yang ingin membantu boleh berhubung dengan Pusat Khidmat BATAS Wilayah Persekutuan atau menyumbang terus kepada Roslizawaty di nombor akaun 1400841000054863 (Bank Simpanan Nasional),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Oktober 2017 @ 11:18 AM