Hadzlihady Hassan

hadzlihady@hmetro.com.my

PEMANDU bas yang menghilangkan diri sejurus merempuh bas rosak di KM147 Lebuh Raya Utara Selatan berdekatan Tol Juru pagi tadi, berjaya ditahan polis untuk siasatan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, pihaknya sudah menjalankan ujian saringan air kencing dan mengambil sampel darah pemandu bas itu.

Menurutnya, polis juga akan menyemak rekod sama ada pemandu bas kilang itu mempunyai saman sebelum ini.

"Semua butir peribadi mangsa yang maut dan cedera juga masih lagi diperiksa," katanya.

Dalam kejadian jam 5.30 pagi ini, lapan wanita membabitkan tujuh warga Indonesia dan seorang wanita warga tempatan, Noriah Kasa, 40, maut dalam kemalangan membabitkan dua bas kilang.

Sementara itu empat pekerja wanita warga asing yang cedera dalam kemalangan itu ditempatkan di Hospital Sungai Bakap (HSB) untuk rawatan lanjut.

Keempat-empat mangsa yang masih belum diketahui identitinya dimasukkan ke HSB kira-kira 6.45 pagi untuk rawatan dan pemeriksaan lanjut.

Sebahagian lagi mangsa kemalangan turut dihantar ke Hospital Seberang Jaya.

Berita berkaitan:

H`Drebar' bas cabut lari ?

Hilang rakan karib sekelip mata

4 pekerja maut di lokasi, 30 cedera

Lapan pekerja kilang terbunuh

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 Oktober 2017 @ 12:19 PM