ERMA, Umie begitu teruja kekasih kepada adik kesayangan mereka masuk meminang.
Rudy Iman Shamsudin
imran@hmetro.com.my


Sewaktu majlis pertunangan Betty Rahmad dengan lelaki pilihan hati Ardy Damis berlangsung Ahad lalu, dua kakaknya iaitu pengarah dan pelakon, Erma Fatima dan Umie Aida dilihat begitu sibuk menguruskan segala hal.

Bermula daripada menyediakan cenderahati kepada tetamu, konsep hiasan dan pelamin hinggalah kepada menjemput tetamu agar tiada yang terlepas pandang.

Ternyata Erma mahupun Umie begitu teruja apabila kekasih kepada adik kesayangan mereka akhirnya menghantar rombongan meminang setelah sekian lama berkawan dan bercinta.

Erma sewaktu ditemui di majlis itu berkata, dia memang menunggu kehadiran rombongan Ardy juga ahli perniagaan untuk meminang adiknya itu.

Tambahan pula hubungan di antara Betty dan Ardy bukan lagi rahsia. Sudah hampir empat tahun mereka berkawan dan diketahui keluarga kedua-dua belah pihak.

“Pernah juga saya berseloroh dengan Ardy, kalau tidak mahu meminang adik saya biarlah keluarga saya datang meminang dia bagi pihak Betty. Ardy terkejut dan mengatakan mana boleh begitu.

“Saya tegaskan kepadanya, kenapa tidak boleh pula. Siti Khadijah sendiri datang dan meminang Rasulullah. Mungkin disebabkan saya berseloroh sedemikian rupa, Ardy akhirnya menghantar rombongan untuk meminang Betty,” katanya.

Cerita Erma lagi mewakili adiknya, pada majlis pertunangan itu juga keluarganya hanya meminta senaskhah al-Quran sebagai hantaran buat Betty.

“Bagaimanapun ada syarat yang perlu dipenuhi membabitkan hantaran senaskhah al-Quran itu. Ia harus dibaca habis oleh Ardy sebelum majlis pernikahan berlangsung.

“Al-Quran itu nantilah yang harus diberikan kepada Betty. Keluarga saya meletakkan syarat itu kerana tahu bakal adik ipar boleh mengaji dengan baik,” katanya.

Berkongsi cerita mengapa Betty dan Ardy mengambil masa lama untuk mengikat tali pertunangan sedangkan mereka sudah bercinta hampir tiga tahun, kata pelakon drama Aku Bukan Malaikat itu, dia mahupun Ardy mahu memperbaiki diri terlebih dulu sebelum langkah ‘lebih besar’ diambil mereka.

“Benar kami berkawan sudah lama dan kemudian bercinta, begitupun apabila kita berkawan situasinya berbeza dengan bercinta.

“Jadi kami perlukan tempoh untuk mengetahui apa pasangan suka dan tidak,” katanya.

Betty juga akui dalam tempoh berkawan dan bercinta itu, hubungan mereka ada pasang surutnya dan ia turut menjadi antara faktor kenapa baru sekarang mahu bertunang.

Ardy yang berada di sisi Betty, menjelaskan dia bersedia memperisterikan kekasih hatinya kerana berasakan hanya adik kepada Erma dan Umie itu yang dapat mengubahnya menjadi insan lebih baik.

“Betty orangnya sangat fokus dan dia selalu mengingatkan saya perkara-perkara penting apabila saya mula menjalankan perniagaan sendiri. Dan kami sering bekerjasama dalam perniagaan yang kami usahakan.

“Jadi berasakan kami mempunyai keserasian itu saya berasakan sekarang adalah tempoh terbaik untuk kami bernikah. Bagaimanapun sebenarnya paling penting, Allah sudah menemukan jodoh antara kami. Apa yang berlaku adalah dengan izin-Nya,” katanya.

Kata Ardy lagi, kalau ikutkan hati dia mahu bernikah terus. Bagaimanapun keluarga kedua-dua belah pihak mahu majlis yang dilangsungkan ini tidak meminggirkan adat.

Begitupun ikatan pertunangan di antara dia dan Betty tidak lama hanya dua bulan dan majlis pernikahan dan persandingan dirancang berlangsung pada Januari depan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Oktober 2017 @ 6:09 AM