Petugas KECV memandikan gajah.
Gajah liar diberi latihan di KECV untuk melakukan pertunjukan.
Nazdy Harun
am@hmetro.com.my


Kuala Berang: Keputusan kerajaan negeri mewujudkan sebuah pusat konservasi gajah di Tasik Kenyir dilihat satu usaha bijak dalam menangani krisis antara manusia dan gajah.

Perkampungan Konservasi Gajah Kenyir (KECV) bukan hanya sekadar sebagai pusat perlindungan malah ia juga antara satu lokasi tarikan pelancongan yang terdapat di Tasik Kenyir hasil usaha yang dilakukan secara berterusan oleh kerajaan negeri bersama S Bina Management Sdn Bhd selaku pihak yang menguruskannya.

Pengarah Urusan S Bina Management Sdn Bhd Ang Ching Yang berkata, usaha mewujudkan KECV bertujuan menyelesaikan konflik antara manusia dan gajah selain dapat memberi peluang pekerjaan kepada anak tempatan.

“Kewujudan KECV bermula pada 2012 apabila kerajaan negeri meluluskan dengan merezabkan tanah seluas 256 hektar untuk dijadikan pusat konservasi ini.

“Hingga kini 12.8 hektar kawasan sudah dibangunkan di KECV ini termasuk pembinaan jambatan gantung sejauh 600 meter, tujuh menara, 30 kandang, masing-masing satu bangunan penginapan penjaga gajah (mohuk), restoran tepi sungai, surau, tandas, kafe dan bangunan pengurusan serta dua stor makanan,” katanya.

Menurutnya, kemudahan lain iaitu 200 petak parkir kereta, 300 tempat letak motosikal dan 20 petak parkir bas turut disediakan kepada pengunjung KECV.

Katanya, pembinaan kawasan KECV ini dibangunkan sendiri oleh anak tempatan yang mendapat latihan di S Bina dengan kerjasama Yayasan Diraja Sultan Mizan (YDSM).

“Selain dilatih bagi membangunkan KECV, kakitangan yang ada seramai 55 orang juga diberi pendedahan berkaitan penjagaan gajah sebelum ia mula beroperasi pada 9 Mei 2014.

“Ketika di awal pembukaan, pusat konservasi ini hanya mempunyai enam gajah yang diterima daripada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN),” katanya.

Ang berkata, hingga kini 18 gajah berusia dua tahun enam bulan hingga 40 tahun ditempatkan di KECV dan kebanyakan ia dibawa dari sekitar negeri itu kerana menghadapi konflik dengan manusia sebelum ini termasuk ditangkap kerana menceroboh ke kawasan kediaman.

Menurutnya, gajah terbabit kemudian dijaga dengan mengambil masa mengikut umur gajah iaitu anak gajah satu hingga enam tahun mengambil masa lapan bulan hingga setahun sebelum ia dapat dipamerkan kepada pengunjung.

“Bagi gajah yang sudah berusia enam tahun ke atas ketika dibawa ke sini pula biasanya mengambil masa satu hingga dua tahun sebelum dipamerkan.

“Kebanyakan gajah yang tiba di KECV ini berada dalam keadaan cedera akibat terkena jerat atau luka ditikam pemburu haram untuk mendapatkan gading.

“Ada juga gajah yang cuba direbahkan supaya pemburu mudah mendapat gading dan dalam usaha itu gajah akan menyebabkan mamalia terbabit mengalami kecederaan,” katanya.

Menurutnya, semua gajah yang cedera akan diberi rawatan dan dijaga sebaiknya sebelum boleh dibawa untuk didekati pengunjung.

Katanya, anak gajah yang dibawa ke sini pula kebanyakannya sudah kehilangan ibu dan ia akan dijaga serta dibiasakan berdikari.

Menurut Ang, pelawat yang bertandang ke KECV merupakan penyumbang derma dalam pemuliharaan gajah di pusat berkenaan.

Beliau berkata, pihaknya mewakili kerajaan negeri berterima kasih di atas sokongan pengunjung yang sudi melawat KECV kerana melalui tiket yang dibeli sebagai bayaran masuk ke pusat konservasi terbabit membolehkan hasilnya disalurkan untuk kegunaan gajah, di situ.

Menurutnya, saban hari pihak pengurusan menyediakan makanan yang sesuai untuk gajah terbabit antaranya rumput napier, tebu, makanan sampingan, tumbuhan berfiber dan buah-buahan.

“Bagi seekor gajah yang berusia satu hingga lapan tahun akan diberi makanan 50 hingga 100 kilogram makanan sehari. Untuk gajah yang berusia lapan tahun ke atas pula diberi makan sehingga 100 ke 200 kilogram makanan sehari.

“Setiap bulan gajah yang ada di KECV akan melalui pemeriksaan kesihatan bagi memastikan kesihatan gajah pada tahap terbaik,” katanya.

Menurutnya, seawal jam 7 pagi penjaga gajah akan membawa haiwan itu untuk mandi dan kebiasaannya dalam sehari ia akan dimandikan sebanyak lima kali.

Katanya, KECV juga menyediakan satu pengalaman baru kepada pengunjung dengan adanya jambatan gantung sejauh 600 meter dengan tujuh menara di kawasan berkenaan dan gajah yang dijaga itu juga mampu melakukan pertunjukan pendidikan kepada pelawat.

“Pertunjukan pendidikan iaitu apa yang dilakukan gajah di habitat asal mereka seperti mengambil pucuk pada dahan pokok, mengangkat kaki untuk membolehkan anak-anak gajah naik pada permukaan bentuk muka bumi yang cerun.

“Gajah yang dijaga di sini diasuh mengikut habitat asalnya, sekali gus pengunjung dapat melihat cara sebenar kehidupan gajah ketika di dalam hutan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Oktober 2017 @ 2:57 AM