RUHAINIES akui terpaksa berdepan gosip apabila berkawan rapat dengan lelaki termasuk artis.
Ramlah Zainal
ramlah@hmetro.com.my


Nama Ruhainies tidak pernah sunyi dikaitkan dengan gosip dan kontroversi sejak berkecimpung dalam arena seni dua tahun lalu.

Namun, pelakon jelita berusia 25 tahun ini tidak cepat melatah apabila terpalit kisah kurang enak sebalik­nya menganggap ia sebagai asam garam anak seni.

“Pada awal pembabitan saya akui tertekan apabila nama terpalit kontroversi.

“Selepas dikaitkan kontroversi sekali lagi, saya hanya menganggap ia ujian.

“Saya juga tidak baca komen negatif di laman sosial dan lebih suka melihat segalanya dari sudut positif. Saya perlu kuat untuk terus bertahan dalam bidang ini,” katanya.

Mengulas dakwaan suka mempermainkan perasaan lelaki, Ruhainies yang pernah dikaitkan bercinta dengan pelakon Azrel Ismail menafikan perkara itu.

“Saya bukan ‘playgirl’. Memang sejak di bangku sekolah saya selesa berkawan dengan lelaki berbanding perempuan.

“Saya susah percayakan orang dan berdasarkan pe­ngalaman, kawan lelaki boleh simpan rahsia berbanding perempuan.

“Banyak perkara yang dikongsi dalam persahabatan itu dan kalau saya susah dia akan bantu dan begitu juga sebaliknya,” katanya.

Ruhainies ditemui pada sidang media Kuala Lumpur Wedding Festival (KLWF) yang berlangsung di sebuah hotel di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Bagaimanapun, Ruhainies yang kini dikaitkan dengan pelakon baru Asyraf Aley mengakui dia terpaksa berdepan gosip apabila berkawan rapat dengan lelaki termasuk rakan artis.

“Jika rapat dengan seseorang, ramai salah anggap dan fikir kami bercinta.

“Apabila kita sudah tetapkan dalam fikiran dia kawan baik macam mana nak jadi teman istimewa pula?

“Saya juga tidak halang jika kawan lelaki yang rapat dengan saya ingin berkawan dengan wanita lain,” katanya.

Adik kepada pelakon Risteena Munim ini turut mengakui tidak rapat dengan mana-mana pelakon wanita.

“Kalau rapat pun cuma dengan kakak saya, Ristineena,” katanya.

Kahwin sebelum usia 30 tahun

Beralih sisi peribadi, pelakon yang mula mencipta nama menerusi drama Hello Mr Perfect ini menyasarkan menamatkan zaman bujang sebelum berusia 30 tahun.

“Saya masih ada masa beberapa tahun lagi untuk kumpul duit sebelum berumah tangga.

“Memang saya ada berkawan, tetapi belum jumpa yang istimewa.

“Kalau boleh saya ingin melihat kakak berkahwin dulu,” katanya.

Mengenai perkemba­ngan karier seni pula, Ruhainies kini terbabit dengan drama Ombak Cinta.

“Selain terbabit de­ngan penggambaran video muzik, saya juga akan menjayakan drama untuk slot Lestary TV3 tidak lama lagi.

“Manakala projek filem pula belum ada rezeki lagi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Oktober 2017 @ 12:57 AM