ORANG ramai melihat kerosakan akibat penyerang berani mati di Paktia. - EPA

Khost (Afghanistan): Taliban melancarkan dua serangan berani mati terhadap pasukan keselamatan Afghanistan Selasa lalu yang sehingga semalam dilaporkan meragut 80 nyawa dengan hampir 300 orang cedera, dianggap kejadian paling berdarah di negara itu sejak lima bulan lalu.

Serangan paling buruk dilancarkan di pekarangan polis di bandar Gardez, wilayah Paktia, apabila anggota Taliban yang menyamar sebagai anggota keselamatan meletupkan tiga kenderaan dipenuhi letupan - termasuk sebuah trak dan Humvee seterusnya membolehkan 11 lelaki bersenjata merempuh masuk.

Sekurang-kurangnya 60 orang termasuk Ketua Polis Paktia Toryalai Abdyani serta orang awam yang menunggu mengambil dokumen terbunuh dalam letupan dan pertempuran berkenaan yang berlangsung lima jam, kata timbalan pengarah kesihatan Gardez Hedayatullah Hamidi.

Katanya, kira-kira 236 orang turut cedera dalam kejadian itu.

Jurucakap gabenor Paktia, Abdullah Hasrat berkata: “Pos kawalan pertama premis itu diletupkan bom trak. Dua lagi kenderaan kemudian memasuki pekarangan itu dengan satu meletup berhampiran pos kawalan kedua, manakala yang ketiga merempuh pejabat ketua polis yang menyebabkan dia serta pengawal peribadi terbunuh.”

Menurutnya, militan terbabit memakai seragam polis dan membawa pengenalan diri polis palsu - taktik biasa untuk pemberontak menyelinap masuk ke premis kerajaan serta keselamatan.

Jurucakap polis Sardar Wali Tabasum berkata, dua anggota keselamatan ditahan kerana dipercayai ada kaitan dengan serangan itu seterusnya membayangkan penyerang dibantu orang dalam.

Sementara itu, serangan kedua berlaku di wilayah bersebelahan, Ghazni dengan 20 orang maut merangkumi 15 anggota keselamatan dan lima orang awam.

Empat puluh enam orang dilaporkan cedera dalam kejadian itu manakala enam penyerang terbunuh selepas menggunakan taktik sama meletupkan kenderaan sebelum merempuh bangunan.

Ia kejadian terburuk di Afghanistan sejak 31 Mei lalu apabila sebuah lori dipenuhi 1,500 kilogram letupan diletupkan di kawasan diplomatik di ibu negara, Kabul, yang membunuh 150 orang dan mencederakan ratusan lain. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Oktober 2017 @ 5:36 AM