Muhammad Apendy Issahak
apendy@hmetro.com.my


SEORANG kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun dipercayai didera oleh ibu kandung dan bapa tirinya dalam kejadian 6 Oktober lalu di Ipoh.

Kanak-kanak terbabit dikesan didera ketika mendapatkan rawatan di Hospital Pakar Komuniti Perak pada 1.21 pagi.

Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang wanita yang bekerja di hospital berkenaan mengatakan terdapat seorang kanak-kanak yang mengalami kesan seperti didera.

"Menurut maklumat yang diterima terdapat empat sekeluarga membabitkan seorang ibu bersama tiga anak iaitu dua perempuan berusia tiga tahun dan empat bulan serta seorang anak lelaki berusia empat tahun ke hospital berkenaan untuk mendapatkan rawatan kerana disyaki mengalami jangkitan Influenza A.

"Pemeriksaan lanjut pihak hospital kemudian menemui kesan cedera pada seorang anak perempuan wanita terbabit dipercayai akibat didera," katanya dalam sidang media selepas Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di Balai Polis Pasir Puteh, Ipoh, hari ini.

Menurutnya, siasatan awal polis mendapati ibu mangsa mendakwa ada memukul anak perempuannya itu menggunakan tangan dan penyangkut baju kerana hiper aktif serta tidak mendengar kata.

"Setakat ini polis belum dapat merakamkan percakapan ibu mangsa yang berusia 24 tahun kerana empat beranak terbabit dikuarantin di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh kerana influenza.

"Polis juga sudah memanggil bapa tiri mangsa yang berusia 20 tahun bekerja sebagai pemandu lori untuk dirakam percakapan pada hari ini," katanya.

Sum berkata, kanak-kanak perempuan terbabit mengalami kecederaan calar di badan dan buat masa ini masih dijaga ibunya di hospital.

"Kes kini disiasat mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Oktober 2017 @ 11:03 AM