Roslan (kiri) membawa jenazah Muhammad Ammar ke Unit Forensik Hospital Kepala Batas selepas meninggal dunia akibat digilis lori di Jalan Penaga, Seberang Perai Utara, Pulau Pinang. FOTO Amir Irshad Omar dan ihsan pembaca
Zulfa Mohamad
am@hmetro.com.my


BETAPA pilu hati seorang ayah apabila ketika mahu menunaikan permintaan anaknya yang meminta mainan, dalam sekelip mata dia melihat anaknya itu terkorban digilis lori.

Dalam kejadian 12 tengah hari di Jalan Penaga, Kepala Batas, hari ini, Roslan Ismail, 44, menunggang motosikal dalam perjalanan pulang ke rumah di Permatang Tok Gelam, Tasek Gelugor selepas memotong rumput.

Menurut Roslan, dia memberhentikan motosikal untuk ke kedai di kiri jalan bagi membeli mainan diminta anak kelimanya, Muhammad Ammar Danish yang berusia tiga tahun.

"Muhammad Ammar berada dalam raga motosikal dan sebaik saya melangkah masuk ke kedai, sebuah lori ikan dari arah Penaga bergesel dengan mesin rumput.

"Berikutan itu, anak saya terjatuh di kanan jalan sebelum digilis tayar belakang lori berkenaan," katanya.

Roslan terkedu sebaik melihat Muhammad Amar terbaring berlumuran darah manakala lori berkenaan berhenti 50 meter dari tempat kejadian.

"Saya tak sempat membeli mainan diminta Muhammad Ammar dan hanya mampu melihat tubuhnya yang sudah kaku," katanya sebak.

Mayat Muhammad dihantar ke Hospital Kepala Batas (HKB) untuk dibedah siasat.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Prai Utara Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor mengesahkan kejadian itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Oktober 2017 @ 3:53 PM