FATIMAH menggunakan motosikal untuk membawa anaknya Aziana yang lumpuh selepas ditimpa batu konkrit. FOTO Nor Farhani Che Ad
Nor Farhani Che Ad
am@hmetro.com.my


Sungai Petani: Seorang wanita terpaksa membawa anaknya yang lumpuh menaiki motosikal ke tempat kerja setiap hari demi memastikan keperluan zuriatnya mampu dipenuhi.

Ini berikutan Fatimah Hashim, 45, yang bekerja sebagai pembantu kedai makan dengan pendapatan harian tiada pilihan lain berikutan tiada siapa boleh bergantung harap untuk menjaga anaknya Aziana Shaari, 13.

Aziana disahkan lumpuh seumur hidup serta mengalami komplikasi kesihatan yang lain akibat kejadian ditimpa batu konkrit tiga tahun lalu.

Dalam kejadian itu, empat tulang belakang Aziana hancur dan terpaksa digantikan dengan plastik menyebabkan dia kini tidak mampu lagi menjalani kehidupan seperti insan normal lain.

Menceritakan kembali detik pilu berkenaan, Fatimah berkata, insiden itu berlaku ketika anaknya yang berusia 10 tahun mahu memetik buah mangga sebelum ditimpa batu konkrit di sebuah rumah terbengkalai berhampiran rumah mereka.

“Akibat kejadian itu, dia bukan saja lumpuh, tetapi juga beberapa organ dalamannya turut rosak. Dia sering mengalami masalah pernafasan disebabkan kerosakan pada paru-paru kiri.

“Aziana juga perlu makan makanan yang lembut saja kerana sukar untuk membuang air besar dan perlu diberi ubat untuk proses membuang air besar dua hari sekali,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini, semalam.

Difahamkan, Fatimah menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan dan RM450 setahun daripada Lembaga Zakat Negeri Kedah.

Mereka yang ingin menghulurkan bantuan boleh menyalurkan ke akaun Bank Simpanan Nasional bernombor 0230029000588382 atau menghubungi Fatimah di talian 014-3148891.

Fatimah berkata, selain itu Aziana juga tidak mampu mengawal pengeluaran air kencing disebabkan oleh masalah pundi kencingnya yang rosak dan perlu memakai lampin pakai buang.

“Saya juga menjaga dua lagi anak yang masih bersekolah berusia 14 dan 15 tahun, sekali gus berdepan kesulitan untuk menyediakan keperluan anak bongsu daripada enam beradik itu.

“Setiap hari saya membawanya menaiki motosikal ke tempat kerja sebelum diletakkan di atas kerusi sementara menunggu saya habis waktu bekerja,” katanya.

Katanya, dia perlu membelanjakan kira-kira RM300 untuk membeli lampin pakai buang dan keperluan lain, selain turut memerlukan sebuah kerusi khas bagi memberi keselesaan kepada anaknya memandangkan Aziana hanya terbaring sehingga menyebabkan kulit badannya berkudis.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 Oktober 2017 @ 5:33 AM